Berita

Usaha jadikan Labuan bandar pintar

Labuan Bandar Pintar
AMIR bersama Al-Ishsal bergambar sebelum mempengerusikan majlis taklimat bersama SKMM di bangunan PL baru-baru ini.
- Diterbit 15 September 2019 6:00 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bakal menubuhkan Majlis Jawatankuasa Tindakan Digital yang berfungsi untuk menyelia dan memastikan peningkatan capaian internet di pulau tersebut dapat dilaksanakan dengan segera.

Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussein berkata, SKMM bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan majlis tersebut yang sebelum ini dijadualkan pada tahun 2023 kepada tahun ini atau menjelang tahun depan.

“Penubuhan majlis itu akan memastikan sektor persisiran pantai, pusat perbankan, sektor industri, pelancongan, kesihatan dan pendidikan mendapat keuntungan daripada initiatif Rancangan Fiberisasi dan Penyambungan Negara (NFCP).

“Langkah itu juga bakal menyaksikan Labuan bakal menjadi ‘smart island’ atau ‘smart city’,’’ katanya kepada Wilayahku selepas taklimat bersama pihak SKMM di Bangunan PL baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman.

Amir berkata, PL juga telah memohon secara rasmi kepada SKMM untuk menjadikan Labuan sebagai salah satu kawasan untuk akses kepada teknologi generasi kelima (5G).

“Kertas kerja projek perintis 5G sedang disediakan dan diserahkan kepada SKMM sebelum akhir bulan ini. Kami berharap pelaksanaan 5G di Labuan akan memberikan impak positif kepada ekonomi pulau ini bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya.

Terdahulu Amir berkata, SKMM telah menyampaikan taklimat berkenaan isu usaha menaik taraf kemudahan telekomunikasi kepada PL dan pemegang taruh utama di Labuan.

“Sesi libat urus ini membolehkan dialog terbuka antara pihak berkepentingan di Labuan dengan SKMM dan wakil syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan maklum balas berkenaan isu-isu berkaitan dengan pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur telekomunikasi di Labuan,’’ katanya.

Amir berkata, taklimat itu turut dihadiri wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pengerusi-pengerusi Dewan Perniagaan di Labuan, wakil pertubuhan bukan Kerajaan dan persatuan-persatuan berkaitan kewangan, Ketua-Ke­tua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas