Berita

Beri fokus Labuan jadi destinasi pelancongan

Labuan jadi destinasi pelancongan
KHALID (tengah) menyampaikan cenderamata pada majlis perasmian Festival Layang-Layang Antarabangsa di Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 15 September 2019 6:04 AM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS
dan JEFFREY NIAN

LABUAN – Usaha mempromosikan Labuan sebagai destinasi pilihan pelancong menjadi fokus utama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi meningkatkan jumlah pengunjung ke pulau tersebut sekali gus da­pat memberikan manfaat ekonomi kepada penduduk tempatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, bagi tujuan itu Majlis Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan tahun ini sebagai wadah pertemuan antara kementerian dan agensi-agensi KWP bersama wakil-wakil persatuan dan pemain industri.

“Majlis ini akan mendapatkan pandangan dan membincangkan isu-isu berkaitan dengan pembangunan pelancongan di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Festival Layang-Layang Antarabangsa Labuan 2019 di sini baru-baru ini.

Khalid berkata, Labuan mempu­nyai potensi yang besar dalam industri pelancongan dan para penduduk­nya perlu memanfaatkan peluang ter­sebut.

“Labuan secara fizikalnya merupakan sebuah pulau tropika yang me­nawarkan suasana cuaca yang sekata sepanjang tahun dan para pelancong boleh menikmati keindahan panca­ran suria di pantai serta pulau yang kebanyakan masih belum diusik se­penuhnya oleh pembangunan.

“Saya menyeru penduduk Labuan agar memanfaatkan sumber alam yang telah dikurniakan Allah ini dengan sebaik-baiknya bukan sahaja sebagai tempat kita tinggal malah turut mendatangkan hasil pendapatan,’’ kata­nya.

Kata beliau, laut yang terbentang luas sudah pasti dapat dieksploitasi secara optimum dengan melakukan kajian-kajian yang membantu dan membuka minda warga tempatan menghargai sumber alam.

“Saya yakin Laut China Selatan yang memagari Labuan ini mempunyai khazanah yang sedia diterokai seperti penghasilan mutiara daripada penternakan tiram secara komersial dan produk berasakan marin yang boleh diletakkan di dalam pakej lawatan pelancong seperti dari Korea, Taiwan dan Jepun,” katanya.

Beliau turut menyeru warga Labuan untuk sama-sama memastikan agar pulau ini terus disenaraikan sebagai salah satu lokasi Festival Layang-layang di Malaysia.

Seramai 63 pelayang termasuk 34 dari 14 buah negara luar menyertai festival selama tiga hari bermula 6 September lalu di di pantai Batu Ma­nikar.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas