Berita

Urusan hak milik tanah wakaf pertama dibangunkan di Kuala Lumpur

CHE ROSLAN (kanan) bersama Abdul Aziz (kiri) melihat Dokumen Hak Milik Tanah Wakaf yang diwakafkan Syed Ahmad Shakirin di Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. (10 Mac 2020)
- Diterbit 10 Mac 2020 12:24 PM MYT

KUALA LUMPUR – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWPKL) berjaya membangunkan satu urusan khusus bagi memudahkan pendaftaran hak milik tanah wakaf yang pertama di Kuala Lumpur.

Pengarah PTGWPKL, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, Peletakhakan Tanah Wakaf itu bertujuan bagi menangani permasalahan endorsan tanah wakaf melalui sistem e-Tanah yang telah dikuatkuasakan di Kuala Lumpur mulai 19 Jun 2017.

“Melalui pelaksanaan urusan ini, semua endorsan baru bagi tanah wakaf PPTGWPKL akan memaparkan jenis wakaf samada Wakaf Am atau Wakaf Khusus.

“Ia juga akan turut disertakan maklumat nama pewakaf di dalam dokumen hak milik tanah yang diwakafkan tersebut. Dengan ini hasrat pewakaf ditunjukkan dengan lebih jelas di atas dokumen hak milik selaras dengan lafaz wakaf yang telah ditandatangani,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Dokumen Hak Milik Tanah Wakaf kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Rumah Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu, Datuk Zulkurnain Hasan dan pewakaf, Syed Ahmad Shakirin Syed Ghazali.

Che Roslan berkata, pelaksanaan urusan baharu itu akan dapat membantu PPTGWPKL dan MAIWP yang bertindak sebagai pemegang amanah tanah wakaf di dalam melaksanakan hasrat pewakaf serta pengurusan rekod tanah wakaf yang lebih baik dan teratur.

Berdasarkan rekod MAIWP, terdapat 52 hak milik tanah yang telah diwakafkan dengan jumlah keluasan kira-kira 7.2 ekar.

Bagaimanapun, kesemua hak milik tanah tersebut tidak dicatatkan sebarang endorsan wakaf ke atas setiap dokumen hak miliknya.

Ini ekoran kaedah yang diguna pakai sebelum ini di PPTGWKL adalah melalui urusan pindah milik tanah daripada pewakaf kepada MAIWP.

Terdahulu pada majlis tersebut, PPTGWP menyampaikan dokumen hak milik tanah wakaf kepada MAIWP iaitu hak milik pertama yang didaftar endorsan baharu di bawah Seksyen 416C Kanun Tanah Negara.

Harta itu merupakan unit rumah teres dua tingkat yang diwakafkan Syed Ahmad Shakirin sebagai Wakaf Am. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas