Berita

‘Doakan saya jalankan amanah yang ditaklifkan’ – Zulkifli

ZULKIFLI ketika mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V. S. Vigneswaran, hari ini.
- Diterbit 10 Mac 2020 4:54 AM MYT

“Mohon doakan saya dalam menjalankan amanah yang ditaklifkan kepada saya,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Beliau antara enam Senator baharu yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri V. S. Vigneswaran, pada pukul 10.05 pagi.

Terdahulu, pada majlis itu, Zulkifli mengetuai senarai penerima disusuli, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Turut sama, Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Majlis angkat sumpah turut disertai Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diikuti Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan I.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar pula mengangkat sumpah kira-kira pukul 10.30 pagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas