Berita

Annuar Musa mulakan tugas di Kementerian Wilayah Persekutuan

ANNUAR mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya hari ini. Hadir sama Santhara (belakang,kiri) dan Rosida (kanan).
- Diterbit 11 Mac 2020 7:31 AM MYT

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memulakan tugasnya hari ini dengan menghadiri taklimat bersama ketua-ketua agensi di bawah kementerian di Menara Seri Wilayah, Presint 2 di sini.

Sebelum itu, beliau bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara menyempurnakan upacara penyerahan tugas sambil disaksikan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Terdahulu ketibaan Annuar di pejabat Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kira-kira pukul 1 tengah hari disambut Santhara dan Rosida bersama pegawai serta kakitangan kementerian tersebut selepas beliau menghadiri mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra.

Annuar turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan kakitangan kementerian sebelum diperkenalkan dengan ketua-ketua agensi di bawah KWP.

ANNUAR dan Santhara (kanan) pada majlis taklimat bersama ketua-ketua agensi dan pegawai kanan KWP di Menara Seri Wilayah, Putrajaya hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

Turut hadir Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk TPr. Mohd. Anuar Maidin; Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd. Daik; Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Zulkurnain Hassan dan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas