Berita

DBKL benamkan Perbadanan Putrajaya di Tasik Putrajaya

DBKL-PPJ BOAT RACE
PASUKAN DBKL dan PPj bergambar kenangan bersama Khalid (tengah) dan Presiden PPj, Datuk Dr. Aminuddin Hasim (depan, empat kiri) - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 15 September 2019 10:42 AM MYT

Oleh HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA – Meskipun hanya membuat persiapan selama seminggu pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya menumpaskan pasukan Perbadanan Putrajaya (PPj) pada Putrajaya Boat Race 2019 di Tasik Putrajaya di sini petang ini.

Dalam perlawanan sejauh 3.8 kilometer dari jeti Yayasan Kepimpinan Perdana ke Kelab Tasik Putrajaya, DBKL berjaya memintas PPj di laluan berdepan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum memenangi perlawanan perahu dayung itu.

Ketua pasukan DBKL, Ridzuan Ismail, 37, berkata, pihaknya tidak sangka dapat memenangi perlawanan tersebut meskipun mereka hanya membuat persediaan pada saat akhir.

RIZUAN

”Saya rasa kelebihan kami pada stamina pendayung. Kalau ikut pengalaman pendayung kami semua masih baharu dalam sukan perahu dayung.

“Cuma saya seorang yang pernah menyertai pasukan kayak mewakili negara ke Sukan SEA sebanyak tiga kali,” katanya kepada Wilayahku.

Rizuan berkata, pihaknya berjaya bangkit semula dengan memintas PPj kira-kira selepas satu kilometer perlawanan dan mengekalkan tempo hingga ke garisan penamat.

“Hanya berbekalkan semangat dan kita tidak ambil mudah dengan PPj yang telah membuat persiapan lebih lama dan faktor mereka sebagai tuan rumah.

”Kami sebenarnya tidak ada bot, kami berlatih pun datang ke Putrajaya dan bot yang kami baru terima hari ini ada sedikit masalah teknikal,” katanya.

Sementara itu, Ketua pasukan PPj, Faridz Amli Shaharudin, 39, berkata, pasukannya telah memberikan tentangan habis-habisan terhadap DBKL.

“Pada peringkat awal memang kami berjaya leading tetapi kami tertinggal bila sampai di Masjid Besi. Saya rasakan cabaran kami ialah faktor stamina yang kurang mantap,” katanya.

Katanya, kesemua pendayung PPj menganggap ini adalah pengalaman pertama yang amat berharga.

“Harap kita dapat kekalkan pasukan ini untuk perlumbaan akan datang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih PPj, Zarin Syukri Zaili berkata, pasukan PPj didapati mengerahkan tenaga sebaik dipintas DBKL hingga membuatkan mereka kehabisan tenaga meskipun jarak perlawanan berbaki 2 kilometer.

“Selepas ini PPj perlu menumpukan kepada latihan yang lebih kerap kerana mempunyai fasiliti dan lokasi yang baik untuk sukan perahu dayung dan lepas ini latihan perlu lebih tersusun. Tidak ada masalah untuk maju pada masa hadapan, ” katanya.

Dengan kemenangan itu DBKL membawa pulang hadiah wang tunai RM1, 000 manakala PPj sebagai naib juara menerima hadiah Rm500.

Penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas