Berita

UPKK 2020 dibatal, sesi KAFA ikut ketetapan KPM

DATUK DR ZULKIFLI MOHAMMAD AL-BAKRI
- Diterbit 17 April 2020 5:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil keputusan membatalkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober ini di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri berkata, keputusan itu adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap
penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) bermula Tahun 1 hingga 6 di peringkat rendah.

“Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan pelbagai kaedah.

“Bagi tujuan ini, JAKIM akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis
tersebut,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

SESI kelas KAFA turut tertakluk kepada ketetapan KPM. Gambar hiasan

Kenyataan itu merujuk kepada kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd. Radzi Md. Jidin pada 15 April lalu bahawa keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan adalah tertakluk kepada perkembangan semasa serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kementerian Pendidikan (KPM) juga mengambil keputusan membatalkan peperiksaan UPSR dan PT3 serta menangguhkan peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM ke tahun 2021.

Zulkifli berkata, selaras dengan keputusan tersebut, JAKIM membuat keputusan bahawa pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara juga akan dibuat mengikut ketetapan KPM.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas