Berita

Penghantar makanan wajib jalani saringan kesihatan

PENGHANTAR makanan turut terdedah kepada risiko Covid-19 kerana mereka berdepan dengan pelanggan. Gambar hiasan
- Diterbit 17 April 2020 8:04 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua penghantar makanan mesti menjalani saringan kesihatan di klinik kesihatan atau klinik swasta di daerah masing-masing sebelum memulakan operasi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan ini melihatkan penghantar makanan bagi lebih 40 buah syarikat e-hailing, restoran makanan segera, syarikat kecil dan individu-individu yang diupah membuat penghantaran.

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan saringan kesihatan itu demi menjaga keselamatan penghantar makanan.

“Kita mahu jaga kesihatan penghantar makanan ini kerana mereka itu bertemu secara langsung atau dalam keadaan bersemuka dengan pelanggan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan tersebut kepada lebih 40 syarikat pengendali e-hailing manakala penghantar restoran makanan segera menerusi arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau menambah, bagi syarikat kecil dan individu yang diupah di bandar-bandar kecil khususnya harus berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita ingin memaklumkan bahawa semua penghantar makanan tersebut dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas