Berita

“Rumah kami semakin usang”

Penduduk rumah panjang Perumahan Awam Bukit Kiara gembira Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa beri komitmen untuk sediakan rumah baharu untuk mereka
INILAH rumah panjang Perumahan Awam Bukit Kiara yang telah dihuni 100 keluarga sejak 38 tahun lalu. Gambar NAZIRUL ROSELAN INILAH rumah panjang Bukit Kiara yang telah menjadi tempat berteduh 100 buah keluarga sejak 38 tahun lalu.
- Diterbit 17 April 2020 1:39 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bak kata pepatah, penantian suatu penyiksaan. Itulah yang dialami oleh 100 keluarga di rumah panjang Perumahan Awam Bukit Kiara di sini yang tetap setia menanti rumah ganti percuma yang dijanjikan oleh kerajaan sejak 38 tahun lalu.

Biarpun hari berganti hari, namun sehingga kini mereka masih lagi menunggu sehinggakan ada segelintir daripada mereka telah meninggal dunia kerana faktor lanjut usia dan sebagainya.

Tempoh hampir empat dekad bukan satu tempoh yang singkat, malah sepanjang masa itu jugalah mereka terpaksa akur untuk terus menghuni rumah papan kecil tersebut bersama ahli keluarga masing-masing.

Seiring masa berlalu, rumah tersebut semakin usang. Dindingnya dimamah anai-anai malah pelbagai lagi kerosakan yang timbul menyulitkan penduduk di sini.

V. SUNDERAM

Bagi menyelami perasaan warga rumah panjang, Wilayahku sempat menemubual Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Bukit Kiara, V. Sunderam, 69.

“Kami sudah terlalu lama berharap untuk tinggal di tempat yang lebih selesa. Bertahun-tahun kami hidup dalam rumah yang usang dan sangat mengharapkan janji kerajaan dilunaskan secepat mungkin.

“Ada dalam kalangan kami telah pun meninggal dunia dan sehingga nafas terakhir mereka tidak dapat merasai hidup dalam rumah yang diharapkan,” ujarnya sayu.

Luah bapa kepada tiga orang anak ini lagi, kini keadaan rumah semakin menyedihkan dan sentiasa memerlukan penyelenggaraan dari semasa ke semasa.

“Pintu, dinding semuanya dalam keadaan rosak. Malah paling menakutkan ada ketikanya rumah juga semakin bergoyang,” ceritanya.

Namun di sebalik kedaifan tersebut, Sunderam berterima kasih kerana Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil membantu membetulkan keadaan rumah mereka.

“Terima kasih kerana memahami kesulitan. Sedikit sebanyak ia mengurangkan ketakutan kami. Atap zink sudah ditukar kepada yang baharu namun faktor usia rumah ini akan sentiasa memakan kos yang banyak,” ujarnya.

Katanya lagi, kini mereka berdepan dengan masalah baru apabila longkang belakang dan hadapan rumah mereka retak menanti belah.

“Longkang pecah menyebabkan air mengalir ke rumah. Itu yang paling merunsingkan fikiran saat ini. Saya berharap agar masalah ini tidak berlarutan lama kerana ia akan memberi kesan yang buruk kepada struktur rumah,” luahnya.

PENDUDUK rumah Panjang Perumahan Awam Bukit Kiara menjalankan aktiviti gotong-royong.

Ketika mereka dilanda kerisauan, jaminan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada Sabtu lalu, iaitu untuk meneruskan projek rumah ganti yang tertangguh kepada rumah mampu milik, memberi sinar baharu kepada seluruh warga rumah panjang.

RAMESH

Sementara itu,  Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perumahan Awam Bukit Kiara,  Ramesh, 52, berkata, keprihatinan Menteri Wilayah Persekutuan itu amat dihargai.

“Beliau sanggup turun padang melawat warga rumah panjang biarpun ketika wabak Covid-19 sedang melanda negara. Kami amat menghargai keprihatinan beliau,” ujarnya.

Katanya lagi, kesemua penduduk menyambut gembira jaminan menteri yang akan menyediakan rumah ganti secara percuma jenis mampu milik untuk mereka.

38 tahun lalu, 100 buah keluarga yang terdiri daripada kaum berketurunan India berpindah dari kawasan estet Bukit Kiara dan menetap di rumah panjang.

Mereka dijanjikan rumah baharu namun sehingga kini belum dapat direalisasikan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas