Artikel

Untung nasib usahawan kecil

PENINGKATAN permintaan PPM mewujudkan peluang pekerjaan
- Diterbit 2 Julai 2020 12:37 PM MYT

NEGARA sedang dalam fasa pemulihan dari pandemik Covid-19. Kita belum berjaya menghapuskan terus pandemik ini, namun telah berjaya mengawalnya dan
bersedia merawat mereka yang dijangkiti.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada sejak 18 Mac 2020 telah menjejaskan ekonomi negara. Walaupun tidak seteruk sesetengah negara Eropah dan Amerika Syarikat, namun ia tetap memberi kesan yang signifikan kepada kerajaan dan sebahagian rakyat.

Namun dari satu sudut lain pandemik ini juga telah mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital terutamanya berasaskan pembelian dalam talian.

Pengendali pasaran e-dagang sosial Fingo Group Ltd menerusi anak syarikatnya, Fingo Malaysia Sdn Bhd, misalnya telah mencatat peningkatan jualan dalam talian sebanyak 150 peratus hingga 200 peratus sejak pelaksanaan PKP.

Rumusnya seperti tulisan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Dr Rais Hussin baru-baru ini bahawa, “Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan segmen perniagaan yang memerlukan transformasi digital secara besar-besaran, sama ada mereka yang terlibat suka atau tidak.”

Ini adalah realiti semasa.

Transaksi Dalam Talian

Antara ciri-ciri ekonomi digital ialah transaksi dalam talian. Ia boleh jadi pembayaran tanpa tunai menggunakan pelbagai aplikasi pihak ketiga atau secara terus dari bank.

Selain itu, perkhidmatan tempahan dalam talian untuk barangan, makanan dan
pengangkutan awam juga adalah sebahagian ekonomi digital yang telah bertapak di negara ini sejak beberapa tahun lepas.

Kesemua ini ada caj-caj tambahan yang dikenakan oleh pihak ketiga. Bagi platform pembayaran seperti e-wallet, kad kredit dan debit, peniaga dikenakan caj sekitar 2%-3% dari harga jualan bagi setiap transaksi.

Bagi perkhidmatan e-hailing, pemandu perlu membayar sehingga 20% daripada jumlah tambang yang dibayar pengguna kepada syarikat penyedia platform.

Manakala bagi syarikat perkhidmatan penghantar makanan (PPM), rakan niaga (merchant) dikenakan komisyen sehingga 30% daripada nilai jualan.

Dalam masa yang sama pengguna juga dikenakan caj penghantaran.

Perkhidmatan Penghantar Makanan (PPM)

Media memaparkan ceritacerita gembira mengenai peningkatan pendapatan ‘rider’ atau penghantar makanan. Usahawan makanan juga gembira kerana mereka dapat meningkatkan jualan setelah semua premis makanan dilarang menyediakan  perkhidmatan makan di dalam premis.

Permintaan ke atas PPM sangat tinggi ini telah mendorong mereka yang hilang  kerja atau tidak bekerja sepanjang PKP ini menjadi ‘rider’ kepada beberapa syarikat penghantar makanan seperti GrabFood dan FoodPanda.

Jika ketika PKP kita dihidangkan dengan laporan peningkatan jualan penyedia makanan bermasak. Selepas PKP ini pasti ramai pengusaha kedai makan dan kafe akan menjadi rakan niaga kepada syarikat-syarikat PPM ini.

Membeli makanan menggunakan sistem pesanan dalam talian (online) dan menunggu ‘rider’ menghantar makanan di rumah sudah menjadi budaya sebahagian masyarakat negara ini terutamanya di Lembah Klang.

Khidmat ini menjadi popular kerana memudahkan pengguna. Pengguna dapat menjimat masa mengelak kesesakan jalan raya, beratur panjang mengambil makanan dan juga jimat kos parkir serta petrol.

Pendek kata sebahagian rakyat telah mengubah cara hidup dan ‘menganuti’ budaya
pembelian dalam talian ini.

Nasib Usahawan Kecil

Namun sebagai usahawan kecil yang terbabit dengan perniagaan kafe ada sesuatu
yang sangat menganggu mengenai sistem yuran syarikat PPM ini ke atas para
peniaga.

Kita ambil contoh khidmat penghantar makanan antara yang paling popular di negara ini iaitu GrabFood. Grabfood mengenakan caj atau komisyen antara 25% – 30% daripada harga jualan. Dalam masa yang sama GrabFood mensyaratkan peniaga meletak harga yang sama dengan harga jualan di premis. Kebanyakan syarikat PPM menggunakan nisbah yang sama.

Bagi syarikat francais besar situasi ini bukan satu isu getir kerana margin keuntungan telah tinggi; dan mereka menjadikan penjualan dalam talian ini sebagai sebahagian strategi pemasaran dan pengumpulan pelanggan setia.

Namun bagi peniaga makanan dan minuman biasa, komisyen ini sangat besar akan mengambil sekitar 80%, atau mungkin lebih, margin keuntungan mereka.

Sebahagian usahawan makanan ini mungkin gembira melihat peningkatan pendapatan hasil pembelian dalam talian menggunakan platform syarikat PPM ini.

Realitinya, kecuali mereka meletakkan margin keuntungan seratus peratus atas harga jualan, pendapatan ini tidak sebesar mana dan boleh memberi kesan kepada
aliran tunai dan keuntungan akhir tahun.

Pada masa hadapan usahawan makanan yang terbabit sebagai rakan niaga syarikat PPM ini perlu meningkatkan harga jualan bagi memperoleh keuntungan yang berpatutan. Kos ini akhirnya akan dilepaskan kepada pengguna dan meningkatkan inflasi industri makanan.

Tanggungjawab Kerajaan

Dalam keghairahan kerajaan mempromosi ekonomi digital termasuk jualan secara dalam talian, soal kawal selia industri membabitkan komisyen syarikat penyedia platform dalam talian ini perlu dikaji semula.

Kita akur pelaburan mereka dalam perniagaan platform digital memerlukan pulangan modal dan keuntungan.

Namun proses jualan dalam talian harus jujur dan telus jika kerajaan mahu  ekonomi digital ini berkembang dengan adil.

Jika tidak, usahawan kecil akan terus menjadi ‘mangsa’ konglomerat digital yang
mengaut keuntungan secara semberono atas usaha dan susah payah orang lain.

Tidak munasabah membenarkan PPM mengambil komisyen dari rakan niaga  sehingga 30% dari harga jualan.

Kerajaan mungkin tidak boleh mengawal caj perkhidmatan atau komisyen ini melalui penetapan harga siling. Ini bukan sahaja akan mewujudkan polemik kebebasan pasaran, tetapi juga akan menggalakkan lobi dan penipuan bagi menjustifikasi penetapan kadar yang lebih tinggi.

Dalam konteks ini saya menyarankan kerajaan merangka satu mekanisme pembayaran yang jujur, di mana komisyen penyedia platform transkasi dalam talian ini harus diambil berasingan dari harga jualan dan diisytiharkan dalam resit.

Misalnya pada penghantaran makanan, jika penyedia platform mahu mengambil komisyen 30%, maka jumlah tersebut harus ditambah selepas harga jualan,  bukannya diambil dari harga jualan. Demikian juga bagi transaksi dalam talian
membabitkan pembayaran digital, caj transaksi tersebut harus dikenakan selepas harga jualan, bukannya dalam harga jualan.

Dengan kaedah ini pengguna boleh tahu mana yang lebih menguntungkan mereka.

Harga makanan dan barangan lain juga tidak akan melambung tinggi hanya kerana peniaga mahu menyerap kerugian komisyen 30% daripada penyedia platform.

Ekonomi digital seharusnya memberi persekitaran perniagaan yang lebih adil dan telus kepada semua pihak sama ada peniaga kecil dan besar, penyedia platform, pengguna dan juga negara.

Senario ini belum ada dalam ekonomi digital kita. Tidak guna memberi pelbagai latihan dan kemudahan kepada PKS berubah kepada ekonomi digital, namun akhirnya yang mengaut keuntungan besar ialah syarikat penyedia platform digital sahaja.

AB JALIL BACKER
Penulis merupakan Presiden Angkatan Karyawan Nasional (AKAR)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas