Artikel

AKPK sedia bantuan awal hadapi pasca moratorium

- Diterbit 2 Julai 2020 2:30 PM MYT

PEMBERIAN enam bulan moratorium yang bermula pada April 2020 merupakan
antara insentif Covid-19 yang memberikan banyak manfaat kepada masyarakat
terutamanya golongan terjejas yang kehilangan sumber pendapatan.

Walaupun hanya bersifat sementara, pemberian moratorium ini dilaksanakan pada masa yang tepat dan dapat membantu masyarakat meringankan bebanan kewangan mereka di saat menghadapi keadaan sukar.

Ianya membantu isirumah terjejas meneruskan kehidupan tanpa perlu risau
memikirkan komitmen hutang.

Pelaksanaan moratorium ini yang telah berjalan selama tiga bulan bakal berakhir pada 30 September 2020.

Bagi golongan yang pendapatannya tidak terjejas tetapi tetap memilih untuk menerima moratoritum dijangka tidak mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman setelah tamat tempoh moratorium.

Namun, bagi mereka yang masih terkesan dari segi kewangan dan menempuh saat sukar diseru agar mendapatkan bantuan awal dengan menghubungi institutsi kewangan masingmasing atau AKPK.

AKPK bersedia untuk memberi khidmat nasihat serta penjadualan semula hutang kepada individu yang berdepan masalah pembayaran hutang pasca moratorium.

Berikut merupakan panduan bagi membantu masyarakat membuat persediaan mengharungi cabaran kewangan pasca moratorium:
(1) Bersedia dari segi mental dan emosi bahawa tiada lagi penangguhan bayaran selepas 30 September 2020. Peminjam perlu membuat persediaan membayar hutang seperti sediakala.

(2) Jangan tunggu saat akhir. Tunaikan tanggungjawab sebagai peminjam. Rancang awal pembayaran pinjaman sebelum moratorium berakhir. Hubungi AKPK untuk
mendapatkan khidmat nasihat pengurusan wang dan hutang. Jangan bertangguh kerana lagi lama kita tunggu, lagi sedikit pilihan yang ada untuk mencari jalan penyelesaian.

(3) Ketahui Ansuran bulanan terkini – Jangan lupa untuk menghubungi institusi
kewangan bagi mendapatkan maklumat berhubung ansuran bulanan terkini yang harus dibayar selepas tamat moratorium. Kemungkinan terdapat pertambahan bayaran bulanan pinjaman

(4) Semak semula kedudukan kewangan terkini. Nilai semula kedudukan kewangan terkini dengan mengemas kini penyata kewangan seperti penyata nilai harta bersih dan penyata aliran tunai yang dapat memberi gambaran terkini kedudukan kewangan masingmasing.

Penyata nilai harta bersih memberi gambaran jelas mengenai kedudukan hutang dan juga harta yang ada. Manakala penyata aliran tunai menunjukkan sumber
pendapatan dan aliran tunai keluar. Penyata kewangan ini dapat membatu kita untuk merangka langkah-langkah yang perlu diambil contohnya keperluan mencairkan sebahagian daripada aset dan sebagainya.

(5) Kaji semula bajet bulanan – Kita berada pada waktu mencabar yang menuntut pengurusan kewangan dibuat dengan lebih cermat, teliti dan mengambil kira kemungkinankemungkinan yang mungkin berlaku dalam tempoh krisis Covid-19 ini seperti pemotongan elaun, gaji dan mungkin juga pemberhentian kerja.

Pentingnya untuk mengkaji semula bajet bulanan pasca moratorium bagi  memastikan kita mampu membayar hutang selepas tamat tempoh moratorium. Dahulukan perbelanjaan penting seperti pembayaran hutang, bil, sewa rumah dan lain-lain. Tangguhkan perbelanjaan yang tidak penting seperti makan di luar dan hiburan bagi menjana aliran tunai positif.

(6) Jana Pendapatan Baru – Cuba cari jalan untuk menjana pendapatan baru bagi menggantikan sumber pendapatan yang hilang. Sentiasa berusaha dan jangan
cepat berputus asa.

(7) Reskilling/ Upskilling/ Belajar benda baharu – Tingkatkan pengetahuan dalam bidang sedia ada/ bidang baru yang memungkinkan kita medapat peluang pekerjaan yang lebih cerah. Terdapat banyak seminar dalam talian yang boleh didapati secara percuma atau dengan bayaran yang minima sepanjang tempoh PKP.

(8) Pakej insentif Covid 19 – Jangan lupa untuk meneroka pakej insentif Covid-19 yang disediakan kerajaan sama ada bantuan tunai secara one-off, bantuan bagi mereka yang diminta mengambil cuti tanpa gaji sepanjang PKP mahupun bantuan kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana. Bantuan tidak akan datang bergolek tanpa kita berusaha mendapatkannya.

(9) Jangan terjebak dengan skim penipuan kewangan yang sentiasa mengambil kesempatan atas individu yang terdedah. AKPK boleh dihubungi di talian khidmat pelanggan 03- 2616 7766 atau melalui laman web www.akpk.org.my serta
pautan bit.ly/AKPKdmp2020.

Untuk mendapatkan tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta pembelajaran
pengurusan kewangan dalam talian, sila ke laman sesawang power.akpk.org.my atau media sosial AKPK seperti Facebook, twitter dan Instagram.

MOHAMAD KHALIL JAMALDIN
Penulis merupakan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas