Artikel

Sisi lain SUPOL

- Diterbit 19 Jun 2020 5:40 AM MYT

i. SEMUA orang tahu selepas 9 Mei 2018 secara rasminya saya adalah gelandangan politik.
Menghabiskan sebahagian besar masa dengan untuk menyiapkan tesis PhD, tugasan di Indonesia, program pengkaderan Sebar Pelita (memberikan pelatihan percuma, kemahiran komunikasi politik) di seluruh negara dan mengembara secara backpackers. Kembara di Eropah akan saya bukukan dalam tempoh terdekat.

Tidak ada apa yang mahu saya kesalkan atas keputusan PRU 14, melainkan bangkit. Saya melihat ada ruang untuk memberikan pelatihan percuma kepada parti dan berkongsi pengalaman selaku ADUN dan Ahli Parlimen.

Dalam masa 22 bulan sebagai ‘gelandangan politik’, saya sempat menjelajah ke-56 Parlimen seluruh negara, membina jaringan aktivis dan menyebarkan pengetahuan. Sepanjang tempoh itu, pelbagai kerenah dihadapi dari teman-teman. Ada yang berjanji mahu membeli buku namun setelah buku diterima sehingga kini masih belum membayar. Ada juga yang memberikan wang lebih untuk duit minyak, apapun semuanya saya terima.

Suatu petang 16 Mac 2020, selesai berceramah di Taiping, saya menerima pesanan WhatsApp daripada Tan Sri TPr Annuar Musa.

Alahai.

ii. SAYA di panggil ke pejabat Setiausaha Agung UMNO tepat pukul 1 tengahari. Beberapa kelibat Ahli Majlis Tertinggi UMNO turun sama di lantai tersebut, termasuk Datuk Mohd Razlan Rafii. Di pejabat Tan Sri Annuar ada seorang wanita (akhirnya saya kenali sebagai Dato Ruby, dilantik sebagai SUSK) dan Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO pada ketika itu.

“Saya nak you bantu saya sebagai SUPOL (Setiausaha Politik) dan ambil pengalaman dalam pentadbiran kerajaan”
“Tapi saya bukan dari kawasan Tan Sri”
“Ia tidak semestinya dari Kelantan”
“Bila nak bermula?”

ANNUAR mengimamkan solat tarawih bersama pegawai-pegawainya termasuk Budiman (tiga dari kanan).

Tan Sri tersenyum memberi maksud.

Secara jujur saya sendiri sangat terkejut dengan tawaran tersebut. Ketika pembentukan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional, saya hanya memantau dari Seberang.

Saya bukanlah terlalu rapat dengan beliau. Tidak pernah bersama dalam Sekretariat Setiausaha atau Penerangan parti. Kami ada chemistry sebagai mantan pemimpin pelajar dan pendebat universiti. Siapa yang tidak kenal sosok Annuar Musa? Menjadi wakil rakyat semenjak berusia lewat 20an dan tidak gentar bertembung dengan mana-mana kluster kayangan.

Cuma saya hargai bantuan dan kerja kuat beliau ketika PRK Sungai Besar. Kami hanya bersama dalam Yayasan Pelajaran Mara dan pernah bersekali dalam lawatan kerja di Jepun sebelum PRU14.

iii. SAYA pulang dengan perasaan yang bercampur baur. Dalam keadaan yang tidak melobi, rezeki itu datang. Bahkan ada yang berpendapat nyawa politik yang bernama Budiman itu hidup kembali. Ini kita serah pada Allah.

Timbul satu cabaran. Berapa lama sudah saya tidak kerja pejabat? Saya menjadi ADUN 2013, dan pada 2011 saya sudah ditempatkan di Unit Penyelarasan Perlaksanaan, ICU Selangor, tanpa protokol kerja. Adakah pergaulan menjadi isu? Tentunya tidak. Cabaran sebenar adalah pakaian.

Semua orang tahu kehidupan saya dengan baju kotak-kotak, seluar colduroy dan kasut sukan. Hidup sempoi tanpa ropol. Aturan baru dengan seluar slacks, baju kemeja lengan panjang, tali leher, blazer dan ada kala bersongkok. Apatah lagi berketuakan Tan Sri TPr Annuar Musa yang menjaga penampilan. Aduhai….

Menyelongkar almari lama, dengan modal beberapa seluar slacks dan baju kemeja bermulalah saya bekerja di Kementerian Wilayah Persekutuan.

iv. HARI pertama bertugas sebagai SUPOL, segalanya serba baru. Baru saya tahu pejabat saya ada di beberapa tempat iaitu Putrajaya, DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Kampung Baru. Berpindah kami dari satu tempat yang lain bergantung kepada kesesuaian aktiviti.

Berkenalan dengan sepasukan pegawai pejabat menteri dan penjawat awam dari kementerian. Istilah pertama yang dihadam oleh penjawat awam ialah perkataan ‘punca kuasa’. Segala masalah dirungkai dengan mencari punca kuasa siapakah yang bertanggungjawab menyelesaikan isu tersebut.

Tentunya sebagai anggota pentadbiran kerajaan, tentu banyak do and don’t. Banyak aturan, sebarang tingkah laku perbuatan dan penulisan tidak boleh bercanggah dengan kerajaan sedia ada. Semua sedia maklum saya antara penulis media sosial yang sinis terhadap kerajaan PH.

Sebarang aturan SUPOL sudah tentu kita tidak ‘sah’ selagi kita tidak mengangkat sumpah di hadapan YAB Perdana Menteri. YB Menteri sudah memaklumkan cadangan pelantikan di FB beliau namun aturan angkat sumpah belum lagi terlaksana. Berdebar-debarlah bekerja selaku SUPOL yang belum berlesen. Ia semakin berdebar apabila kawan-kawan lain sudah menerima panggilan dari Bahagian Istiadat, JPM

“Salam. Waibi Budi. Saya XYX dari JPM. Ada email?

SCREENSHOT WhatsApp antara TSAM dan penulis.

“Perghh. Lega.

v. BELAJARLAH saya memahami iklim kerja di Kementerian. Baru mahu belajar bekerja Covid-19 datang melanda. Ironinya TSAM adalah Menteri Besar Wilayah Persekutuan dengan menjaga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Geografi ketiga-tiga kawasan dengan cabaran yang berbeza.

Kuala Lumpur dengan segala ibu masalah negara, Putrajaya pula sebuah wilayah yang dibina dengan sistematik dan Labuan pula adalah wilayah yang sedang membangun dengan nuansa desa.

Kelebihan TSAM adalah prihatin, visioner, kuat bekerja dan micro manage. Isu gelandangan yang tidak diperhalusi semenjak sekian lama berjaya diselesaikan. Isu pasar borong dengan iklim sisi gelap Rohingya berjaya juga diselesaikan. Idea anak muda berniaga akan ada penambahbaikan. Begitu juga masalah perumahan rakyat.

Dalam 100 hari kepimpinan beliau, tentulah peristiwa Kak Nah yang melakukan sujud syukur selepas memperolehi lesen perniagaan adalah sesuatu yang paling terkesan di hati.

100 hari bersama TSAM, ada banyak keberuntungan saya diberi peluang bekerja bersama Tan Sri TPr Annuar Musa. Terlalu kerdil pengalaman dalam politik berbanding beliau. Banyak peluang sama ada dari mata yang melihat dan telinga yang mendengar. Banyak lagi yang mahu saya catatkan namun ruang yang terhad membataskan. Suatu hari nanti saya akan bercerita lagi.

Tunggulah..

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas