Berita

UNIKL tekad julang satu piala LHM 2020

ASHRAN (dua dari kiri) menunjukkan Piala Sumbangsih yang ingin dijulang pasukan UniKL pada Januari ini.
- Diterbit 27 Disember 2019 5:20 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kapten skuad hoki UniKL, Ashran Hamsani yakin pasukan­nya mampu menjulang satu daripada tiga piala saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 yang berlangsung Januari akan datang.

Biarpun tanpa kehadiran Ketua Jurulatih, Arul Selvaraj dan beberapa pemain utama termasuk empat pemain import dalam persediaan pasukan, namun ia tetap berjalan seperti biasa.

“Saya akui persiapan agak lewat dan sedikit terjejas tanpa kehadiran mereka namun saya tetap yakin dengan percaturan yang disediakan pihak pengurusan.

“Walaupun jurulatih Arul tidak berada di sini, dia sentiasa menghantar jadual program, jadi kami hanya perlu mengikutinya seperti biasa,” ujarnya.

Arul dan beberapa orang pemain akan pulang ke Malaysia beberapa hari sebelum tahun baru manakala dua pemain kebangsaan, Razie Abdul Rahim dan Tengku Ahmad Tajuddin turut dijangka pulang pada masa yang sama.

Sementara itu, penye­rang UniKL, Hafiz Zainol mengakui mereka akan bermain bermati-matian untuk liga tersebut.

“Ada pemain baharu dan pemain lama. Masing-masing punya kehebatan dan pengalaman tersendiri,” katanya.

UniKL akan memulakan saingan bagi merebut Piala Sumbangsih pada 10 Januari ini bertemu pasukan Hoki Terengganu (THT) yang merupakan juara Piala TNB.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas