Berita

Skuad ragbi tempah tiket ke ARC tahun hadapan

AKSI anak didik Farid
- Diterbit 27 Disember 2019 5:19 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pasukan Ragbi Malaysia bawah 19 tahun kembali bersaing dalam Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Asia (ARC) pada musim hadapan.

Ia berikutan kejayaannya menjuarai Divisyen 2 mengatasi pasukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam dua perlawanan berturut-turut yang diadakan di Padang A, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Mengulas mengenai per­sembahan anak didiknya, Farid Syazwan nyata berpuas hati dengan semangat dan disiplin walaupun hanya mempersiapkan pasukan dalam masa yang singkat.

“Walaupun mempunyai masa yang terhad, kami dapat apa yang diidamkan atas komitmen semua.

“Pun begitu, persiapan lebih awal dan teratur perlu dilaksanakan bagi bersaing dalam Divisyen 1 yang lebih kompetitif,” ujarnya.

Tambahnya, UAE mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan menguasai hampir kesemua perlawanan tetapi pemain mempamerkan aksi bergaya dan komited sehingga berjaya memenangi perlawanan.

Terdahulu, skuad Ragbi Malaysia bawah 19 tahun seri 12-12 ketika perlawanan pertama bertemu UAE. Kemudian bangkit pada perlawanan kedua apabila menang tipis 15-14 ke atas lawan yang sama, UAE.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan Malaysia bersaing dalam saingan Divisyen 1 bawah 19 tahun adalah pada musim 2017.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas