Berita

Tekad lakukan persediaan rapi

KETANGKASAN Nordiyanah memasukkan bola ke dalam jaring menyerlahkan kebolehannya.
- Diterbit 27 Disember 2019 5:23 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

MENGIMBAU kenangan ketika mula diperkenalkan dengan sukan bola jaring, Nordiyanah Noorsabadinee, 19, pada masa itu masih lagi berada di bangku sekolah rendah.

Kini setelah lapan tahun berlalu, atlet kelahiran Kuala Lumpur ini sudah pun bergelar penyerang kebangsaan dan berjaya mengukir kejayaan demi kejayaan.

Terbaharu, dia bersama pasukan Bola Jaring U21 Kebangsaan dimahkotakan sebagai juara remaja Asia selepas menewaskan Singapura 57-48 pada Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia 2019 di Kashima, Jepun Julai lalu.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai satu kejayaan yang besar bagi dirinya dan pasukan, Nordiyanah menganggap ia menyuntik semangat untuk mencipta kejayaan yang lebih besar lagi.

“Ini adalah kejayaan bersama. Tanpa usaha keras semua pihak sudah tentu ia tidak akan menjadi kenyataan. Saya bangga dengan pencapaian ini.

“Secara tidak langsung, ia juga menjadi penebus kepada kegagalan skuad pada edisi 2017 yang mana ketika itu sekadar bergelar naib juara,” ujar pemain bawah 21 tahun ini.

Paling bermakna, kemenangan tersebut juga membantu melayakkan Malaysia mewakili Benua Asia ke Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia 2021 di Fiji.

Ditanya tentang persiapan sukan akan datang, pelajar Politeknik Nilai, Negeri Sembilan ini bakal menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor pada Julai tahun hadapan.

“Biarpun masa kejohanan jauh lagi namun tempoh tujuh bulan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya untuk sebarang persiapan rapi. Sejujurnya saya tidak sabar untuk beraksi,” kata Nor­diyanah.

Menjadikan atlet kebangsaan Fariha Razak sebagai idola dalam dunia bola jaring, dia berhasrat untuk menjadi seorang yang hebat seperti pemain tengah skuad kebangsaan itu.

Kuat semangat

Anak kedua daripada enam adik beradik ini mengakui dia sentiasa berfikiran positif dan fokus dalam bidang sukan selagi khidmatnya diperlukan.

“Saya mungkin akan berada dalam sukan bola jaring sehingga umur 30 tahun. Selepas itu, saya bercita-cita untuk menjadi jurulatih pasukan Kuala Lumpur pula.

‘‘Perjalanan ini masih panjang lagi. Paling penting saat ini saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru. Rintangan tetap ada cuma bagaimana untuk menanganinya dengan cara yang paling bijak,’’ ujarnya.

Bercerita tentang dugaan sepanjang berkecimpung dalam sukan bola jaring, Noordiyanah mengakui sukan berpasukan memerlukan persefahaman yang tinggi.

“Bila ada pasukan baharu, kita kena bentuk semangat setiap ahli pasukan dengan baik. Itu cabaran yang besar tetapi Alhamdulillah setakat ini kami satu kepala,” ujarnya.

NORDIYANAH (tengah, dua dari kanan) bersama pasukannya.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas