Berita

UNICEF saran kerajaan panjangkan skim kebajikan sosial secara lebih meluas

- Diterbit 10 Februari 2021 9:19 AM MYT

TABUNG Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyarankan agar kerajaan memanjangkan skim kebajikan sosial untuk kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya secara lebih meluas.

Wakil UNICEF di Malaysia merangkap Wakil Khas ke Brunei Darussalam Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata sebagai contoh, sekurang-kurangnya semua risiko berhubung jaminan makanan dan nutrisi perlu diliputi.

“Keduanya, apa yang kita ingin saksikan ialah bantuan tambahan sementara untuk golongan berpendapatan rendah yang bekerja sendiri.

“Terdapat banyak cara untuk terus membantu kesemua keluarga yang bekerja sendiri ini dan anda tahu bahawa kesan COVID-19 telah menjejaskan kehidupan serta peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Mid Day Update Bernama TV hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan hos program itu Jessy Chahal mengenai langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah di bandar yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pada 8 Feb lepas, UNICEF dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengangguran dalam kalangan ketua keluarga isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di pangsapuri kos rendah di bandaraya Kuala Lumpur telah meningkat sekali ganda semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 2020.

Menerusi satu survei oleh UNICEF dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember tahun lepas, keadaan sosioekonomi bagi kira-kira separuh daripada isi rumah keluarga yang dikaji terus menunjukkan kemerosotan.

Bernama melaporkan bahawa berdasarkan Bahagian Tiga laporan ‘Families on the Edge,’ pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah terbabit telah meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus dalam bulan Disember 2020, dan satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian kekal tidak bekerja.

Rashed Mustafa juga berkata bantuan berterusan daripada kerajaan kepada keluarga yang terbabit amat penting dan bantuan dari segi kewangan adalah kritikal ketika ini.

“Kami menjangkakan trend sama akan berterusan sehingga April, sesetengah keluarga berpendapatan rendah akan meneruskan proses pemulihan sebahagian manakala yang lain semakin terjejas.

“Perkara ini bergantung kepada tahap pengurusan COVID-19 di dunia dan negara ini, sebanyak mana proses pemulihan akan berlaku namun April semakin hampir dan kita tidak dapat melihat banyak perbezaan jika tidak ada langkah perlindungan sosial berskala besar diambil,” katanya.

Bahagian 3 laporan Families on the Edge adalah berdasarkan pengumpulan data pusingan ketiga yang merangkumi status sosioekonomi dan kesejahteraan sekumpulan 500 keluarga dengan anak mereka di pangsapuri kos rendah di Kuala Lumpur.

Laporan keempat dan terakhir akan dikeluarkan pada April 2021. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas