Berita

UMNO Labuan lapor polis isu bantah laungan azan, hina Islam

- Diterbit 27 Februari 2021 2:26 PM MYT

UMNO bahagian Labuan membuat laporan polis hari ini terhadap pemilik akaun Facebook ‘Jason Ho’ yang membantah laungan azan serta menghina agama Islam.

Setiausaha UMNO Labuan, Dzulfaizal Ab Manan berkata laporan itu telah dibuat bagi tanda sokongan kepada pihak Jawatankuasa Masjid Sultan Muhammad V agar individu berkenaan disiasat.

“Individu itu telah menghantar mesej kepada Facebook Masjid Sultan Muhammad V yang mendakwa laungan azan solat lima waktu telah menganggu ketenteraman.

“Apa yang dinyatakan individu itu ‘Jason Ho ‘ adalah sesuatu yang tidak wajar kerana selama ini di Labuan tidak pernah wujud masalah yang berkaitan dengan laungan azan ini.

Menurut Dzulfaizal, individu terbabit disifatkan biadab dan tidak menghormati agama Islam yang merupakan agama Persekutuan yang jelas termaktub dalam perlembagaan.

“Mesej dari individu itu juga mengandungi berbaur ugutan terhadap agama Islam dengan membuat tuduhan yang melampau.

“Individu itu telah mendakwa bahawa Islam is fake, penganas dan sebagainya. Ini adalah tidak wajar.

Katanya, laporan itu dibuat bertujuan sebagai sokongan solidariti kepada pihak Jawatankuasa Masjid Sultan Muhammad V agar individu tersebut disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.

“Kita akan memastikan tidak ada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba membantah laungan azan.

“Sekiranya pemilik akaun Facebook itu adalah samaran, kita berharap agensi yang berkaitan khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat bertindak dan mengesan individu tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau bersama Ketua Penggerak Pemuda parti itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan pada jam 4 petang hari ini. – KHAIRUL IDIN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas