KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mengucapkan takziah atas pemergian pendakwah terkenal Datuk Ismail Kamus ke rahmatullah awal pagi ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, Allahyarham Ismail sememangnya terkenal sebagai seorang pendakwah yang disegani di tanahair.
“Banyak sumbangan yang telah diberikan oleh Allahyarham dalam mengembangkan ajaran Islam di Malaysia.
“Setiap tutur katanya sangat berkesan dan mudah difahami oleh seluruh lapisan masyarakat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata, Allahyarham Ismail pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat PUM sesi 1980 hingga 1985.
“Malah sehingga akhir hayatnya terus kekal memberi sokongan kepada PUM,” katanya.

Justeru beliau berkata, pemergian Allahyarham Ismail merupakan satu kehilangan yang dirasai oleh masyarakat Malaysia.
“Marilah sama-sama kita mendoakan agar Almarhum Datuk Ismail Kamus ditempatkan dalam kalangan para solihin dan diberikan ganjaran syurga oleh Allah SWT,” katanya. – WILAYAHKU