Berita

Ribuan ziarah jenazah Ustaz Ismail Kamus

Allahyarham Ustaz Ismail Kamus selamat disemadi di Tanah Perkuburan As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur
ORANG ramai mengambil peluang untuk menziarah jenazah Allahyarham Ismail Kamus di Masjid As-Sobirin AU4 Lembah Keramat pagi tadi. (8 Mei 2020)
- Diterbit 8 Mei 2020 5:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kira-kira 3,000 orang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir serta menyertai solat jenazah Allahyarham Datuk Ismail Kamus di Masjid As-Sobirin AU4 Lembah Keramat pagi ini.

Jenazah dimandikan dan disolatkan di masjid itu malah solat jenazah diadakan sebanyak tiga kali bagi memberi peluang kepada orang ramai yang hadir untuk melakukan solat ke atas tokoh pendakwah itu.

Tinjauan Wilayahku mendapati, hanya ahli keluarga dibenarkan masuk ke dalam masjid bagi menguruskan jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia itu sehingga majlis pengebumian di Tanah Perkuburan As-Sobirin, Lembah Keramat, Kuala Lumpur hari ini.

Jabatan Amal Malaysia melakukan kawalan bagi menjaga jarak sosial, memeriksa suhu badan pengunjung serta menyembur hand sanitizer kepada setiap penziarah dan memastikan orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standad (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas menyifatkan pemergian Allahyarham Ismail sebagai satu kehilangan besar kepada umat Islam kerana arwah adalah tokoh ilmuan yang banyak membimbing dengan pelbagai kaedah yang mudah diterima setiap lapisan masyarakat.

“Saya mengenali beliau sejak berpuluh tahun lalu dan pernah digandingkan sebagai panel program Forum Perdana Ehwal Islam terbitan RTM.

“Sebagai hamba Allah, beliau pergi pada malam Jumaat di bulan Ramadan dan kepada rakan-rakan yang mempunyai keterbatasan pergerakan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disaran agar melakukan solat jenazah ghaib di tempat masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Allahyarham Ismail yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan dimasukkan ke ICU Hospital Kuala Lumpur sejak 26 April lalu setelah mengalami serangan jantung, strok dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Beliau turut menjalani dialisis sebelum dimaklumkan menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 12.30 malam tadi di kediamannya di Ampang.

Allahyarham Ismail dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Hulu Selangor.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan pengajian ke Ma’ahad Hisyamuddin, Klang dan sempat berguru dengan ulama terkenal nusantara, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori yang berasal dari Mekah dan berbangsa Uzbek.

Allahyarham Ismail kemudian memasuki Kolej Islam Klang sebelum me lanjut pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada 1976 selain pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Allahyarham Ismail pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Pusat Islam.

Jawatan terakhirnya ialah sebagai Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Allahyarham sering mendapat jemputan ceramah agama di serata tempat termasuk di luar negara seperti Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia Barat.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas