Berita

Ujian COVID-19, kuarantin wajib antara sekatan tambahan pengembara ke Labuan

PELAKSANAAN sekatan tambahan itu dibuat setelah mengambil kira situasi COVID-19 itu berkuatkuasa 1 Julai sehingga diberitahu kelak. Kredit foto oleh: Sinar Harian PELAKSANAAN sekatan tambahan itu dibuat setelah mengambil kira situasi COVID-19 itu berkuatkuasa 1 Julai sehingga diberitahu kelak. Kredit foto oleh: Sinar Harian
- Diterbit 29 Jun 2021 12:49 PM MYT

KERAJAAN mengenakan beberapa sekatan tambahan bagi individu yang ingin masuk ke Labuan, antaranya wajib menjalani ujian RT-PCR COVID-19 tiga hari sebelum kemasukan, serta menjalani kuarantin wajib.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, pelaksanaan sekatan tambahan itu dibuat setelah mengambil kira situasi COVID-19 itu berkuatkuasa 1 Julai sehingga diberitahu kelak.

Beliau berkata bagi penduduk asal Labuan, mereka wajib kuarantin selama 10 hari di rumah dan tempoh yang sama dikenakan bagi penjawat awam dengan pilihan sama ada di rumah atau hotel, manakala pelawat asing dari luar negara pula perlu jalani kuarantin 14 hari di hotel.

Ismail Sabri berkata, pengguna Kad Harian ‘Transporter’ diwajibkan mengambil ujian RT-PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian RTK antigen setiap minggu.

“’Sign on‘ dibenarkan untuk warganegara sahaja dan wajib menjalani kuarantin 14 hari dengan satu ujian RT PCR pada hari ke-10. Prosedur kemasukan ke Labuan adalah terpakai sepenuhnya. Keutamaan diberikan kepada individu yang telah mengambil vaksin COVID-19,” katanya.

Jelasnya ‘sign off’ dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani satu ujian RT-PCR, manakala kapal kumpit ditangguhkan buat sementara waktu.

Dalam perkembangan lain Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, beberapa lagi lokaliti di seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 1 hingga 14 Julai, berikutan peningkatan kes COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di kawasan itu.

Lokaliti berkenaan ialah Mentari Court, PJS 8; Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way dan Pangsapuri Westlite di Petaling Jaya, Selangor; Kampung Kubang Jela, Mukim Manir, Kuala Terengganu; Kampung Balung Cococ, Tawau di Sabah; dan PPR Pantai Ria serta Taman Bukit Angkasa di Kuala Lumpur.

Sementara itu 10 PKPD di Sabah ditamatkan seperti dijadual antaranya Kampung Taun Gusi Peninting, Kota Belud; Kampung Rampayan dan Kampung Kionsom Kecil, Kota Kinabalu; Kampung Tanjung Batu Tengah dan Taman Semarak Megah, Tawau.

PKPD di Sabah turut ditamatkan di Kampung Rancangan dan Kampung Kijang Merotai, Kalabakan dan PPR Taman Ehsan, Kudat; Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment, Penampang; manakala di Sarawak pula melibatkan penamatan PKPD di Kampung Goebilt dan Kampung Muara Tebas, Kuching.

Mengenai operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata 680 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dengan 659 orang dikompaun, 20 direman manakala seorang lagi dijamin.

Bagi Op Benteng pula, 14 pendatang tanpa izin ditangkap dan enam kenderaan darat dirampas semalam, manakala tiga kilang dan sembilan premis diarah tutup, kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP menerusi pemeriksaan oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas