Berita

PEMULIH: MAFI akan terus mainkan peranan sebagai pemudah cara

BANTUAN bersasar di bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dalam semua bidang termasuk sektor agro makanan- kata Ronald Kiandee. Kredit foto oleh: Utusan Malaysia BANTUAN bersasar di bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dalam semua bidang termasuk sektor agro makanan- kata Ronald Kiandee. Kredit foto oleh: Utusan Malaysia
- Diterbit 29 Jun 2021 12:43 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menjayakan setiap inisiatif dalam Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi memastikan sektor agromakanan pulih segera dan rakyat terus mendapat bekalan makanan mencukupi.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bantuan bersasar di bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam akan terus membantu rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi dalam semua bidang termasuk sektor agromakanan.

“Secara langsung ia dapat membantu golongan terkesan terutamanya mereka yang mengusahakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan yang berada dalam kategori B40 untuk kembali pulih dan meneruskan kelangsungan perusahaan masing-masing dengan terus menyumbang kepada industri agromakanan negara.

“Malah, Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank boleh digunakan untuk mendapatkan semula modal pusingan bagi memulakan kembali perniagaan yang terjejas serta sebagai modal permulaan kepada usahawan baharu yang ingin menceburi bidang agromakanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar untuk menggunakan teknologi terkini di bawah Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian adalah selaras dengan usaha MAFI yang akan memberikan penekanan lebih kepada penggunaan teknologi sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.

Katanya Kempen Shop Malaysia Online dan Go-eCommerce Onboarding dengan sasaran lebih 300,000 peniaga mikro termasuk peniaga pasar tani untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai, akan diteruskan dengan menggalakkan penyertaan pengusaha agromakanan ke platform dalam talian yang efektif bagi menembusi pasaran lebih luas.

Semalam, kerajaan mengumumkan PEMULIH bernilai RM150 bilion yang merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion bertujuan memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat, selain meneruskan program pembiayaan mikrokredit dengan tambahan dana sehingga RM1.1 bilion untuk terus menyokong perniagaan mikro.

Sementara itu, Ronald berkata pelbagai projek pembangunan pertanian termasuk Projek Pertanian Organik dan Program Kebun Komuniti (Kebuniti) berjumlah RM1 juta dan Projek Pertanian Organik  berjumlah RM500,000 yang bakal memanfaatkan penduduk di kawasan Pagoh, akan dilaksanakan.

“Projek Pertanian Organik dan Kebuniti adalah antara inisiatif di bawah Bajet 2021 bagi mewujudkan aktiviti pertanian untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan yang mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan, mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kos sara hidup serta memberi pulangan lumayan melalui aktiviti pertanian bernilai tinggi dalam skala besar,” katanya.

Terdahulu, Ronald menyampaikan sumbangan 1,000 kotak makanan di bawah program MAFI Prihatin menerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) kepada penduduk yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19 serta petugas barisan hadapan di pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Sukan Pagoh, di sini sebagai menghargai jasa mereka.

“Pemberian sumbangan MAFI Prihatin merupakan program yang dilancarkan sejak Januari tahun ini bagi membantu mereka yang terkesan akibat musibah yang melanda negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas