Singgah

Uji tahap pemanduan dalam pusat beli-belah

- Diterbit 29 Disember 2023 3:10 PM MYT

AKTIVITI go-kart merupakan salah satu cabang sukan permotoran yang dikategorikan sebagai aktiviti ekstrem yang mampu mencabar adrenalin. Menariknya aktiviti kenderaan berenjin ini biasanya dilakukan di luar (outdoor) namun kini ia boleh didapati dalam pusat beli-belah.

Salah satu aktiviti go-kart yang menjadi tumpuan adalah di PLSC Drift yang terletak di One Shamelin Mall, Cheras, Kuala Lumpur di mana pengunjung boleh merasai pengalaman memandu drift kart menggunakan kenderaan eletrik (EV) atau kereta bateri di litar yang berkeluasan 300 meter.

Pengurus Operasi, Chai Kar Chin atau mesra disapa Alex berkata PLSC Drift merupakan aktiviti pertama di Malaysia yang mewujudkan pemanduan kenderaan drift yang berkelajuan sejauh 27 kilometer (KMh).

ALEX

“Kami mula beroperasi pada bulan April 2023. Di sini kami menawarkan dua kategori aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur iaitu drift kart dan high speed kart.

“Perbezaan bagi kedua-dua kategori ini adalah dari segi aspek permainan dan tahap kelajuan di mana drift kart lebih tertumpu kepada pemanduan drift manakala high speed kart adalah jenis kenderaan yang sama seperti go kart biasa namun lebih laju dan sesuai untuk perlumbaan.

“Bagi yang sudah biasa, kebanyakannya akan mengambil drift kart kerana keunikannya. Sementara itu, ibu atau bapa juga boleh membawa anak mereka untuk turut sama merasai keseronokan bermain drift kart di dalam litar.

“Namun, bagi mereka yang mahukan kelajuan pula lebih tertarik untuk memandu high speed kart kerana ia sesuai untuk perlumbaan di mana kelajuan adalah sehingga 40 KMh,” katanya.

Memilih menggunakan kenderaan elektrik (EV) adalah salah satu langkah yang sesuai dan wajar sekiranya melakukan aktiviti ini di dalam pusat beli-belah.

Ia bukan sahaja memelihara alam sekitar daripada aspek pencemaran asap dan bunyi malah EV juga tidak memerlukan kuasa yang dijana oleh enjin sebaliknya hanya menggunakan bateri.

“Elektrik kart lebih selamat berbanding kenderaan berenjin dan sesuai untuk golongan dewasa mahupun kanak-kanak. Bagi drift kart, penggunaan bateri ini boleh tahan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam manakala high speed pula satu setengah jam sehingga dua jam.

“Selain itu, kenderaan EV juga menjimatkan bahan api dan kosnya lebih murah berbanding enjin yang dijana oleh bahan api fosil iaitu minyak petrol. Jadi, aktiviti kami tidak membahayakan dan pemandu boleh mengawal sendiri had kelajuan tersebut,” katanya.

Ditanya mengenai aspek keselamatan, Alex berkata pihaknya akan memberi taklimat ringkas terlebih dahulu kepada pengunjung sebelum memulakan pemanduan selain turut menggalakkan mereka untuk memakai pakaian dan kasut yang bersesuaian.

“Keselamatan pengunjung adalah keutamaan kami. Biasanya, sebelum memulakan pemanduan, pekerja akan memberi taklimat ringkas mengenai trek litar, aspek pemanduan dan cara menguruskannya.

“Taklimat ini penting bagi memastikan tiada sebarang kemalangan atau kecederaan. Sekiranya berlaku pelanggaran, kemalangan atau kecederaan, pekerja yang bertugas akan datang membantu.

“Kami tidak akan lepaskan kedua-dua kategori serentak misalnya kami akan tangguhkan dahulu pergerakan high speed kart sekirnya kereta drift kart sedang beraksi di litar,” katanya litar tersebut boleh memuatkan sebanyak 18 kereta dalam satu masa.

Tambah Alex, bagi kategori kanak-kanak, pihaknya hanya membenarkan mereka yang berumur lima tahun dan ke atas dan akan mengukur ketinggian terlebih dahulu sebelum menentukan layak bermain drift kart atau high speed kart. – WILAYAHKU

(Foto oleh SYUQQREE DAIN, Video oleh HASIF HALIMI)

Koleksi foto:

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas