Biz

McDonald’s Malaysia sedia bantuan RM3 juta kepada murid sekolah

TEO Nie Ching (tengah) bergambar dengan penerima bantuan persekolahan pada Majlis Penyerahan Pek Kembali ke Sekolah 2020 di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini hari ini.
- Diterbit 18 Oktober 2019 7:16 AM MYT

Oleh : AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Syarikat makanan segera, McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) memperuntukkan sejumlah RM3 juta untuk program ‘Kembali ke Sekolah’ pada tahun hadapan.

Pengarah Urusan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, sumbangan tersebut adalah untuk kira-kira 30,000 murid sekolah rendah di seluruh negara.

“Pelaksanaan program pada tahun ini merupakan yang terbesar pernah diadakan pihak McDonald’s Malaysia dan setiap murid yang terlibat akan menerima sepasang pakaian seragam, sepasang kasut dan beg sekolah bernilai RM100.

“Inisiatif yang dijalankan adalah untuk meringankan beban keluarga kanak-kanak daripada golongan berpendapatan rendah dan miskin bandar sebagai persediaan menghadapi tahun persekolahan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis Penyampaian Pek ‘Kembali ke Sekolah’ Mcdonald’s Malaysia dan RMHC di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Sementara itu, Nie Ching berkata, pihak kementerian menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan RMHC dan McDonald’s dalam membantu menyediakan peluang pendidikan yang berkualiti bagi semua murid tanpa mengira latar belakang.

“Walaupun ada murid yang kurang berkemampuan dari segi barang keperluan dan kelengkapan persekolahan, KPM akan memastikan mereka mempunyai akses kepada pendidikan kerana kita percaya bahawa pendidikan adalah untuk semua.

“Kita tidak mahu ketidakmampuan dari segi ekonomi menjadi banteng penghalang untuk mereka berjaya dan menyebabkan mereka tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Kemiskinan dan kesempitan hidup tidak dinafikan menjadi salah satu masalah sosial yang mengakibatkan keciciran murid di sekolah rendah dan menengah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas