Oleh ROSLAN RUSLY
SEKUMPULAN enam pensyarah yang juga pakar robotik dari Kulliyyah Kejuruteraan dan Kulliyyah Teknologi Maklumat Komunikasi (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya menghasilkan sebuah prototaip robot bagi membantu petugas barisan hadapan menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit Covid-19.
Projek ini diterajui oleh Centre Unmanned Technologies (CUTe) UIAM.
Robot berkenaan diberi nama Medibot dibangunkan dengan beberapa ciri yang boleh membantu petugas perubatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit yang dijangkiti Covid19.
Medibot dilengkapi alat kawalan jauh bervisual.
Doktor akan berinteraksi dengan pesakit tanpa perlu bersemuka dan ia dilengkapi dengan sistem pembesar suara dan mikrofon berfrekuansi tinggi. Doktor dan pesakit akan berinteraksi secara “tele conference”.

Medibot dilengkapi dengan beberapa ciri yang boleh mencegah para petugas kesihatan dari dijangkiti penyakit Covid19.
Medibot turut dilengkapi dengan sensor thermal suhu yang mana ia boleh mengesan suhu badan manusia dan sistem penggera jika pesakit tersebut mencapai suhu badan bermula pada 37.3 darjah celsius dan ke atas.
Antara ciri-ciri tambahan pada Medibot ialah ia dibina dengan mempunyai sistem semburan nyah kuman “disinfection”.
Sistem ini juga boleh diguna pakai di dalam dan kawasan luar atau terbuka. Dengan adanya sistem semburan tersebut, ia dapat membantu mengekang penularan Covid19. Ciri lain juga ia dilengkapi dengan sinar UV-C.
Menurut salah seorang penyelidik, Dr. Hasan Firdaus Mohd Zaki, idea ini tercetus apabila melihat bebanan petugas kesihatan bertarung merawat pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.
Bukan itu sahaja, ia menjadikan para petugas kesihatan terdedah secara terus dengan pesakit Covid-19.
“Dengan penghasilan Medibot, ia dapat membantu petugas kesihatan dalam menjalankan rawatan kepada pesakit dari jarak jauh.
“Dalam masa sama robot ini akan membantu membersihkan kawasan sekitar dan menjadikannya sentiasa bebas kuman,” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, Medibot juga dilengkapi paparan skrin dan kamera jarak jauh serta sistem telekomunikasi yang mana petugas kesihatan boleh berinteraksi dengan pesakit tanpa bersemuka.
Ini dapat mengurangkan risiko kepada petugas kesihatan, ujar beliau.
“Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terhadap robot ini memakan masa hampir sebulan bermula dengan lakaran dan fungsi sehingga siap sepenuhnya.
“Kerja-kerja dilakukan di makmal kejuruteraan yang mempunyai kelengkapan sepenuhnya untuk menghasilkan robot tersebut,” ujarnya lagi.
Robot ini akan ditempatkan di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UIAM sebagai ujian.
Setelah melepasi ujian-ujian yang ditetapkan oleh tenaga pakar robotik ia akan ditempatkan di Pusat Perubatan UIAM (IIUMMC) di Kuantan, Pahang untuk fasa permulaan. – WILAYAHKU