Berita

“Tiada sebatang pokok pun akan diusik” – Annuar

ANNUAR (kanan) beramah mesra dengan penduduk ketika menyampaikan bantuan barangan makanan daripada YWP kepada penghuni rumah panjang Bukit Kiara semalam. Gambar NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 12 April 2020 2:30 AM MYT

KUALA LUMPUR – “Tiada sebatang pokok pun yang saya benarkan untuk diusik.”

Demikian tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa yang memberikan jaminan Taman Rimba Kiara di sini tidak akan terjejas ekoran projek pembangunan berhampiran kawasan hijau itu.

Sebaliknya Annuar berkata, pihak pemaju perlu menyediakan kawasan hijau tambahan di atas tanah persendirian milik mereka.

Beliau menjelaskan, dengan fakta yang ada, Taman Rimba Kiara tidak tidak akan terbabit dengan pembangunan walaupun sebatang jalan raya atau akses yang boleh menyebabkan pokok ditebang di atas tanah yang telah diwartakan itu.

“Sekarang saya berani menyatakan tidak ada sebatang pokok di atas tanah Taman Rimba Kiara akan diusik.

“Kita juga perlu jelas mengenai perkara ini dan jangan ada sesiapa yang cuba untuk mengelirukan dengan mengatakan kita ‘kacau’ Taman Rimba Kiara ini,” katanya.

Annuar berkata demikian ketika hadir bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada 100 buah keluarga yang menghuni di rumah panjang berhampiran Taman Rimba Kiara di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

SEORANG wanita berdiri di hadapan rumah panjang Bukit Kiara yang dihuni sejak 38 tahun lalu.

Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata, projek yang dibangunkan di atas lot tanah milik YWP dengan usahasama sebuah syarikat pemaju itu tetap akan diteruskan setelah menerima keputusan penghakiman daripada Mahkamah Rayuan.

Katanya, melalui projek tersebut, rumah panjang yang terletak di sini akan digantikan dengan pembinaan pangsapuri mampu milik.

Penduduk juga tidak perlu pindah sehingga pangsapuri mampu milik disiapkan.

Di samping itu, kata beliau, sebuah kuil di kawasan itu juga akan dikekalkan dan dinaik taraf.

“Oleh kerana itu, saya akan memastikan projek ini dilaksanakan demi keadilan penghuni di sini,” katanya.

Annuar memberitahu, beliau bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pihak bagi berbincang mengenai pembangunan itu.

“Mereka telah diberikan ruang sehingga perkara tersebut telah dibawa ke mahkamah.

“Kita tidak menghalang mereka dan biar proses (mahkamah) itu berjalan tetapi dari segi penduduk di sini, mesti dapat hak mereka iaitu sebuah rumah percuma bagi setiap keluarga,

Malah kata Annuar, beliau akan bertemu dengan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pada Isnin ini untuk berbincang berkenaan perkara tersebut.

Annuar turut memohon semua pihak untuk memberikan kerjasama kerana perkara ini telah berlarutan sejak 38 tahun lalu.

“Saya mahu memastikan tiada kacau ganggu dan memikirkan nasib 100 penghuni di sini.

“Penduduk di sini berhak mendapatkan rumah percuma dan juga unit lain untuk generasi kedua yang akan membeli unit tersebut apabila ia siap,” katanya.

PENDUDUK rumah panjang Bukit Kiara akan diberi pangsapuri mampu milik percuma hasil projek pembangunan yang dirancang berhampiran kawasan itu.

Sebelum ini, kes Taman Rimba Kiara menyaksikan penduduk di kawasan TTDI membantah projek pembangunan berhampiran kawasan hijau tersebut.

Laporan sebelum ini menyebut kerajaan menolak membatalkan arahan pembangunan projek itu bagi mengelakkan bayaran pampasan sehingga RM150 juta.

Isu tersebut turut dibawa kepada perhatian Kabinet.

Atas dasar kompromi, Kementerian Wilayah Persekutuan dan YWP serta pihak pemaju sebelum ini telah bersetuju mengecilkan skala pembangunan 12 ekar (4.9 hektar) kepada lapan ekar (3.2 hektar) dengan baki empat ekar bakal dipulangkan serta diwarta­kan sebagai kawasan lapang.

Pembinaan lapan blok kondominium juga akan dikurangkan kepada empat blok.

Projek tersebut langsung tidak menceroboh kawasan Taman Rimba Kia­ra yang berhampiran projek berkenaan manakala Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 162 hektar kekal sebagai sebagai kawasan hijau di tengah ibu kota. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas