Berita

Skim kawalan harga dilaksana mulai 15 April

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 12 April 2020 7:12 AM MYT

PUTRAJAYA – Skim Kawalan Harga Maksimum (SKHM) akan dilaksanakan sepanjang tempoh fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan dalam membendung sikap tidak bertanggungjawab segelintir peniaga yang mungkin akan menaikkan harga barangan keperluan.

“Biasa skim ini dilaksanakan pada musim perayaan namun Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan PKP telah bersetuju melaksanakannya pada fasa ketiga PKP ini.

“Senarai produk-produk di dalam skim tersebut akan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Beliau memberitahu, KPDNHEP menerima 8,145 aduan berkaitan bekalan dan harga sepanjang tempoh PKP ini.

Kesemua aduan itu diterima melalui empat saluran utama iaitu aplikasi WhatsApp sebanyak 4,140, sistem e-aduan (1,766), talian hotline (1,631) dan pusat kawalan penguatkuasaan (608).

“Sepanjang tempoh PKP ini juga sebanyak 1,205 pemeriksaan khas telah dilaksanakan di semua rantaian perniagaan meliputi peniaga atau peruncit, pemborong dan pengilang.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati kesemua barangan keperluan asas termasuk topeng muka dan sanitizer mencukupi dan boleh diperoleh,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri terus menasihati agar tiada pembelian panik dilakukan oleh rakyat.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut memaklumkan bekalan basah dan kering terutamanya beras adalah lebih daripada mencukupi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas