Berita

Semangat Maal Hijrah memberi kekuatan depani COVID-19 – PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan bergambar bersama Tokoh Maal Hijrah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) dan Duta Besar Mesir ke Malaysia Gamal Abdel Rahim Mohamed Metwally (kanan) yang mewakili Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa Sheikh Al-Azhar Al-Syarif Sheikh Prof Dr Ahmad Tayyib pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442 Hijrah/ 2020 Masihi di Masjid Negara hari ini.?Turut sama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua, kanan).?--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA?
- Diterbit 20 Ogos 2020 5:23 AM MYT

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN berkata semangat dan pengajaran Maal Hijrah memberi kekuatan kepada rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Perdana Menteri dalam satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini menitipkan kata-kata semangat itu susulan sambutan Maal Hijrah tahun ini dirai dalam suasana ancaman jangkitan COVID-19 yang belum berakhir.

“Pada tahun ini, kita meraikan sambutan Maal Hijrah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijangka tamat pada 31 Ogos 2020.

“Sambutan tahun ini mungkin tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, namun semangat dan pengajarannya tetap memberikan kita kekuatan khususnya dalam mendepani cabaran wabak COVID-19 yang masih belum berakhir dan usaha memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam negara ini, Muhyiddin juga mendoakan agar rakyat dapat mengambil iktibar dan semangat hijrah Rasulullah SAW dengan sebaik-baiknya.

“Ummah Rabbani Negara Harmoni” menjadi tema majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M yang berlangsung di Masjid Negara malam ini.

Muhyiddin berkata tema itu memberi penekanan kepada pembangunan negara yang seiring dengan konsep “Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur”, iaitu Negara Baik yang mendapat Pengampunan Tuhan.

“Pendekatan ini menekankan niat mencari keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama dalam mengekalkan negara kita sebagai negara maju, aman dan harmoni,” katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi idea dan sumbangan kepada pembangunan Islam serta negara.

Beliau turut menzahirkan tahniah dan terima kasih kepada tokoh-tokoh Maal Hijrah yang dipilih tahun ini atas sumbangan dan bakti mereka dalam menegakkan syiar Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah.

Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringat nasional dan global.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas