Berita

Ubah minda amal kitar semula bermula dari rumah, sekolah

SHAHRUDDIN (empat kanan) memasukkan botol ke dalam tong sampah kitar semula sebagai simbolik pelancaran Program Go Green di SMK Rancha-Rancha baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:15 AM MYT

LABUAN – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rancha-Rancha mendapat ‘durian runtuh’ apabila menerima peruntukan sebanyak RM20,000 bagi melaksanakan program kesedaran menjaga alam sekitar melalui program Go Green peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Peruntukan itu diumumkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh ketika menyempurnakan perasmian program Go Green di sekolah tersebut baru-baru ini.

SMK Rancha-Rancha merupakan sekolah pertama dipilih untuk melaksanakan program yang diperkenalkan oleh Perbadanan Labuan (PL).

Shahruddin berkata, masih banyak yang perlu dilakukan warga Labuan untuk mencapai tahap kebersihan yang memuaskan termasuk mencapai kadar kitar semula yang lebih tinggi.

“Untuk sampai ke tahap itu, kita harus merubah minda dan tabiat harian kita. Amalan mengitar semula dan menjaga kebersihan kawasan kediaman kita hendaklah bermula dari kita sendiri, sebagai orang dewasa serta mendidik dan memupuk anak-anak kita untuk melakukan perkara yang sama di rumah dan sekolah,’’ katanya.

Shahruddin berkata, selain menanam pokok, program Go Green itu juga tertumpu kepada usaha-usaha untuk mendidik dan menerapkan pengetahuan dan amalan-amalan pengasingan sisa dan kitar semula dalam kalangan para pelajar sekolah bermula dari bilik darjah.

Kata beliau, menurut statistik, 70 peratus daripada sisa yang dibuang masih boleh digunakan dan kadar kitar semula di negara ini masih pada tahap rendah iaitu lima peratus setahun.

“Kebanyakan daripada masyarakat cenderung berfikiran pakai buang. Namun hari ini, persepsi sedemikian kian berubah kerana mereka kian sedar bahawa tidak semua sisa itu perlu dibazir atau dibuang tetapi masih boleh diguna dan dikitar semula,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas