Berita

Tapak geopark tarikan baharu

PEMANDANGAN tapak geologi di Pantai Tanjung Kubong.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:13 AM MYT

LABUAN – Labuan mampu menjadi sebagai sebuah pulau pelancongan terkenal sebagaimana Langkawi, Kedah apabila enam tapak taman geologi (geopark) yang telah dikenal pasti dapat dibangunkan.

Tapak geologi tersebut ialah singkapan batuan tepian pantai di Tanjung Batu; Muzium Chimney Walking Trail, Tanjung Kubong, bekas lombong arang batu di Lubuk Temiang dan tirisan minyak di Bukit Minyak Gas, Ganggarak.

Selain itu tapak yang berjaya dikenal pasti ialah formasi belait di Tanjung Layang-Layangan; jujukan batu sedimen laut di Kampung Bebuloh Darat; Volkano Lumpur di Kampung Layang-Layangan dan batu pasir formasi Crocker Tanjung Punei-Tanjung Kiamsam.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, impian tersebut bakal menjadi kenyataan kerana kewujudan geopark dapat menarik lebih ramai pelancong ke pulau ini.

“Impian tersebut bakal menjadi kenyataan memandangkan Labuan mempunyai ciri yang sama dengan Langkawi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Best of Labuan Packages, Labuan Aspiring Geopark dan Makan Malam Kejohanan Bola Jaring Majlis Kebangsaan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) di Ujana Kewangan di sini.

Hadir sama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman yang juga Yang Dipertua MAKSAK Labuan.

Pada majlis itu, Shahruddin turut menyempurnakan perasmian Pertandingan Mencipta Logo dan Maskot Labuan Aspiring Geopark.

Muhammad Bakhtiar yang turut berkongsi pengalamannya melalui perjalanan selama lapan jam dari Pulau Pinang ke Kota Kinabalu, Sabah sebelum tiba di Labuan berkata, pihaknya komited untuk memberikan fokus kepada sektor pelancongan di pulau ini termasuk memastikan penyambungan penerbangan ke sini dapat ditingkatkan.

Dalam hal ini, beliau mengucapkan syabas kepada Perbadanan Labuan dan Tourism Malaysia atas usaha kolaboratif dalam mengetengahkan produk-produk pelancongan di Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas