Berita

Program CSR ceriakan wanita, kanak-kanak

DR. ZAITUN (tengah) diiringi Zaizalnizam (dua dari kiri) menyampaikan hamper kepada pesakit di Wad Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Labuan baru-baru ini.
- Diterbit 14 Februari 2020 6:18 AM MYT

CERIA. Lawatan muhibah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diketuai isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaitun Abu Bakar ke Wad Wanita dan Kanak-Kanak Hospital Labuan baru-baru ini membawa keceriaan kepada pesakit dan penjaga mereka di situ.

Malah lawatan yang pertama kali dilakukan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 itu juga memberikan semangat kepada doktor dan jururawat di hospital berkenaan.

Pada lawatan itu, seramai 50 pesakit kanak-kanak menerima sumbangan hamper berbentuk barangan makanan. Zaitun berkata, program amal tersebut merupakan salah satu usaha bagi memberikan sokongan kepada pesakit dan ibu bapa mereka.

Program anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) itu mendapat kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Labuan (PL).

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun; Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman dan isteri Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datin Sarina Shuib.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Hospital Labuan, Dr. Adnan Musa Balidran.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas