Berita

Tunku Azizah Bantu Usahawan Kraf Pasar Produk

- Diterbit 2 Mac 2021 12:54 AM MYT

KOS sara hidup yang tinggi di bandar raya Kuala Lumpur memaksa seorang ibu tunggal Shereen Khoo, 65, melakukan pelbagai pekerjaan demi menyara keluarganya termasuk dua anak yang menghidap penyakit autisme.

Bagaimanapun dalam meniti usia emas, tidak banyak kerja berat yang mampu dilakukan oleh ibu kepada empat orang anak itu melainkan kerja-kerja ringan seperti menjual biskut setiap kali perayaan tertentu serta kerja-kerja penyelenggaraan secara sambilan dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Segalanya mula berubah apabila Shereen dipelawa untuk menyertai The Tunku Azizah Handmade Market (TTAHM) dinaungi oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang diwujudkan Februari tahun lalu.

TTAHM yang berada di bawah kendalian Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) ditubuhkan untuk membantu usahawan industri pembuatan kraf tangan tempatan memasarkan produk sendiri secara dalam talian.

Berbekalkan dengan kemahiran menjahit yang ada pada dirinya, wanita cekal itu memberanikan diri menghasilkan lima produk buatan tangan iaitu tuala muka bersulam, pemegang atau penutup botol air tali bahu, pouch tisu sulaman, rantai kunci burung hantu dan pelitup muka.

“Saya tak sangka yang media sosial sangat berkesan kerana ia membantu melariskan jualan. Saya memang minat menjahit dan gembira apabila produk yang dihasilkan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pelanggan berbanding ketika menjualnya secara fizikal.

“Saya tidak menang tangan apabila menerima sehingga 2,000 tempahan rantai kunci burung hantu dalam tempoh sebulan selepas menyertai TTAHM Online sejak Disember lepas,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Sewing World Gallery, Subang Jaya.

Walaupun mungkin agak sukar bagi wanita berusia sepertinya untuk memahami teknologi, namun ia tidak menjadi batu penghalang bagi Shereen yang berasal dari Negeri Sembilan itu untuk belajar menggunakan media sosial bagi memulakan perniagaan secara dalam talian demi dua anak lelaki istimewanya, Xiang Wei, 24, dan Xiang Jian, 27.

“Jujurnya, saya memang tidak pandai berniaga secara dalam talian malah sehingga hari ini saya masih belajar. Namun, saya sanggup untuk belajar apabila sedar yang dua anak lelaki saya turut mempunyai kemahiran menjahit dan saya berharap agar platform ini dapat membantu mereka menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Shereen merupakan antara 100 usahawan kraf yang berdaftar dengan TTAHM, terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya kumpulan berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40), suri rumah, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan produk yang ditawarkan melebihi 700 unit.

Berkongsi pendapat sama, Nur Aishah Jamaludin, 35, yang berharap agar TTAHM Online menjadi platform khas buat usahawan kraf dalam memasarkan produk mereka secara lebih meluas sekali gus lebih dikenali di pasaran luar.

“Di luar sana terdapat pelbagai platform e-dagang yang lebih bersifat komersial, namun melalui TTAHM Online, ia hanya mengetengahkan produk buatan tangan yang lebih bersifat eksklusif iaitu hasil titik peluh daripada pengkarya,” katanya yang telah memasarkan tiga produknya iaitu sleeping pouch, bekas pelitup muka dan tote bag melalui jenama Athena Orange Cat.

Sementara itu, Pengerusi PSJKM Fully Chye Goet Lee berkata  platform TTAHM Online diperkenalkan di www.sewingworld.com.my bagi membantu usahawan kraf yang terkesan dengan pandemik COVID-19 sekali gus bergerak mengikut trend semasa.

Menurutnya, TTAHM Online adalah laluan kepada industri pembuatan kraf tangan untuk melangkah ke hadapan, berdaya saing dan berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara

“TTAHM Online bergerak seiring dengan revolusi industri 4.0 (IR 4.0) supaya industri jahitan kreatif tidak ketinggalan dan dapat bersaing dengan industri lain di samping mempunyai pasaran yang lebih besar sehingga ke luar negara,” katanya.

Menurut Chye, uniknya platform itu kerana ia hanya memasarkan 100 peratus produk buatan tangan dan bersifat eksklusif selain turut menawarkan pelbagai latihan bagi meningkatkan kemahiran usahawan kraf agar mereka boleh berdikari.

TTAHM Online dirasmikan Tunku Azizah pada 27 Feb 2020 dan Raja Permaisuri Agong  dijangka meraikan penglibatan 100 usahawan kraf di TTAHM Online esok (3 Mac) secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom sempena genap setahun penubuhannya.

Pada majlis itu sebanyak 79 mesin jahit juga akan diserahkan kepada pelajar cemerlang B40 jurusan fesyen dan pakaian dari Kolej Komuniti dan Politeknik selain pengumuman pemenang bagi pertandingan kraf buatan tangan terbaik Malaysia. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas