Berita

“Kalau nak pakai susuk dah lama dah…” – Ayu Damit minta jauh amalan syirik

- Diterbit 1 Mac 2021 11:34 AM MYT

SEJAK akhir-akhir ini ramai yang memuji penyanyi Ayu Damit tampil kelihatan lebih cantik dan menawan.
Pendek kata, banyak perbezaan berbanding di awal kemunculannya selepas menjuarai pertandingan nyanyian One In A Milion (OIAM) 13 tahun lalu.

Baru-baru ini Ayu Damit atau nama sebenarnya Norayu Damit, 32, menafikan dirinya ada memakai susuk atau pemanis wajah untuk tampil lebih menawan.

“Mulanya terkejut dan tak tahu nak beri reaksi apa bila ada yang meninggalkan komen di media sosial dengan mengaitkan saya dengan pemakaian susuk.

“Lucu pun ada sebab kalaulah saya pakai susuk, lebih baik saya ‘tanam’ dekat muka ni sejak dulu lagi. Mereka yang mengenali saya tahulah saya ni jenis bagaimana orangnya.

“Kalau nak pakai susuk dah lama dah, tak payah tunggu sekarang. Dalam masa yang sama, saya juga selalu berdoa agar dijauhi perbuatan syirik seperti memakai susuk,” katanya yang kini sanggup berhabis lebih RM 10,000 sebulan demi penampilan lebih menarik.

“Kesedaran mengenai penjagaan diri ini pun kian hadir seiring dengan peningkatan usia. Bukanlah nak cantik luaran semata-mata tapi lebih kepada amalkan gaya hidup sihat sementelah saya pun terlibat dalam industri pertanian.

“Apa pun, saya tak ambil pusing pun dengan komen tersebut. Saja suka-suka berkongsikan perkara itu di Insta Story beberapa hari lalu.

“Yang penting, cantik atau tidak, suami dan anak-anak sentiasa ada di sisi. Itu sudah memadai, alhamdulillah,” katanya yang turut menyifatkan cantik itu subjektif.

Mengulas menganai isu perbelanjaan kecantikan dirinya yang mencecah ribuan ringgit, penyanyi asal Sabah ini mendedahkan kos tersebut termasuk rawatan yang ditaja.

“Macam-macam komen yang saya terima. Sudah saya jelaskan, kos tersebut adalah anggaran seperti pelangsingan badan, jamu, vitamin dan sebagainya, selain nilai tajaan daripada beberapa pusat kecantikan.

“Alhamdullilah, ada yang sudi taja. Bagi saya selagi ia tidak memberikan kemudaratan pada jangka masa panjang, saya terbuka menerimanya. Lagi pun saya tetap akan dengar pendapat suami juga sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya lagi yang baru sahaja muncul dengan lagu Permata ciptaan bersama Mohd Atlas dan Zimi Sofazr.

Ia diterbitkan oleh syarikat rakaman Saudagar Seni Media dan video liriknya juga sudah boleh ditonton menerusi YouTube Saudagar Seni Media. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas