Berita

Tunggu pengumuman Arab Saudi sebelum hantar jemaah haji

IBADAH haji mungkin terpaksa dibatalkan sekiranya wabak Covid-19 masih terus melanda dunia. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Mei 2020 8:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Penghantaran jemaah haji Malaysia adalah tertakluk kepada sebarang pengumuman daripada kerajaan Arab Saudi.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat hari ini kerajaan Arab Saudi belum membuat sebarang pengumuman berkaitannya kecuali perintah berkurung semasa Aidilfitri.

“Saya percaya keputusan hantar atau tidak tertakluk kepada pengumuman kerajaan Arab Saudi.

“Kalau kata buka (untuk menunaikan haji) Menteri Hal Ehwal Agama buat pengumuman. Justeru, no point kita membuat keputusan sekarang,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada kerajaan telah membuat keputusan penghantaran jemaah haji tahun ini berbanding Singapura yang memutuskan tidak menghantar jemaah akibat Covid-19.

Dalam perkembangan berlainan, Ismail Sabri menegaskan kerajaan tidak pernah menarik balik arahan bekerja dari rumah.

“Kita telah membuka jabatan-jabatan kerajaan dan daripada jumlah itu 80 peratus bekerja di pejabat dan 20 peratus di rumah

“Alasan bagi 20 peratus kerja di rumah adalah taska atau tabika belum dibuka, sekolah masih belum dibuka. Jadi, masih boleh kerja di rumah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas