Berita

Dana RM40 juta disalurkan baiki kemudahan PPR, PA

Sebuah PPR yang berjaya dicat cantik sekali gus memberikan keceriaan kepada penduduknya. Gambar hiasan
- Diterbit 20 Mei 2020 8:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Prihatin dengan keadaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) serta rumah kos rendah dan sederhana di Wilayah Persekutuan yang memerlukan pembaikan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini mengumumkan peruntukan sejumlah RM40 juta untuk memberikan keselesaan kepada penduduk di kawasan terbabit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, sebelum ini sering timbul aduan berkaitan pelbagai masalah yang menyulitkan penduduk di perumahan terbabit seperti kerosakan lif dan penyelenggaraan yang kurang memuaskan.

“Saya cuba pastikan urusan penyelengaraan dapat dibaiki memandangkan KWP seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan (TPWP),” katanya dalam sesi Live Facebook hari ini.

Sesi tersebut juga disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Wilayahku.

Annuar berkata, peruntukan RM40 juta tersebut merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi 2020 yang diharap dapat dimanfaatkan kepada kontraktor G1 dan G4.

“Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerja-kerja yang mereka (kontraktor) sedang buat terpaksa dihentikan dan mereka juga mengalami kurang peluang untuk dapat projek kecil untuk dilaksanakan.

“Jadi untuk tujuan itu kerja pembaikan struktur dan kemudahan fizikal di PPR, PA dan rumah kos rendah dengan sebahagiannya ada permohonan daripada pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB), maka saya ingin pastikan ada kesaksamaan dalam pengagihan projek,” katanya.

Beliau menjelaskan, setakat ini terdapat 500 kontraktor G1 berdaftar dengan DBKL dan mereka telah melalui proses penganugerahan projek secara undian.

Untuk itu katanya, sebanyak RM38.5 juta disalurkan kepada DBKL dengan membabitkan 54 kawasan projek berasingan melibatkan 81 kontraktor G1 yang dilantik dengan proses undian manakala 34 kontraktor G4 melalui tender.

“Sebanyak RM1.5 juta disalurkan kepada Perbadanan Labuan dengan 12 kontraktor dilantik iaitu 10 taraf G1 manakala dua lagi kontraktor G4,” katanya.

Annuar berkata, projek-projek berkenaan yang dimulakan pada bulan ini diharap dapat disiapkan menjelang Oktober ini.

Menjelaskan pecahan projek pembaikan tersebut, beliau berkata, ia melibatkan kawasan-kawasan Parlimen antaranya Wangsa Maju (20 projek); Seputeh (enam projek) dan Titiwangsa yang melibatkan kerja-kerja cat semula apartment dan mengganti bumbung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas