Berita

Penggambaran dibenarkan selepas Aidilfitri

PENGAMBARAN filem, drama dan pengiklanan selepas Aidilfitri. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Mei 2020 8:06 AM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan pengiklanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas sambutan perayaan Aidilfitri.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan PKP dengan perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, beliau difahamkan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba bahawa aktiviti penggambaran mungkin boleh dilakukan pada hujung Jun susulan syarikat produksi penggambaran perlu melengkapkan beberapa aspek.

“Antara SOP perlu dipatuhi adalah melakukan mesyuarat dan ujibakat dalam talian, mengemukakan perjalanan bagi semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu daripada penggambaran.

“Selain itu, perlu memastikan tidak lebih daripada 20 orang dalam sesi penggambaran,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau memberitahu, syarikat produksi juga perlu melantik penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat penggambaran.

Ismail Sabri menambah, penyedian makanan bagi kru dan artis adalah secara pek individu dan tiada hidangan bufet.

“Jurusolek juga perlu memakai face shield dan memastikan mencuci tangan sebelum dan selepas aktiviti solekan kepada artis.

“Penjarakan sosial satu meter perlu dipatuhi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan rakaman pentas atau secara langsung yang melibatkan tontonan ramai masih tidak dibenarkan kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas