Berita

Tun Mahathir syor pemerintahan tidak memihak kepada parti.

DR. MAHATHIR ketika memberikan perutusan khas petang tadi.
- Diterbit 26 Februari 2020 10:42 AM MYT

PUTRAJAYA – Setelah beberapa hari mendiamkan diri sejak Sabtu lalu hinggalah berlaku kemelut politik negara sebelum diikuti peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri, akhirnya hari ini Tun Dr. Mahathir Nohamad membuka mulut menjelaskan segala tindakan serta keputusannya.

Melalui perutusan khas yang disiar secara langsung di kaca TV di seluruh negara, Dr. Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri interim menjelaskan sebab-sebab beliau bertindak meletakkan jawatan.

Beliau menjelaskan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memanggil beliau menghadap selepas menyerahkan surat peletakan jawatan Perdana Menteri pada Isnin lalu.

“Setelah berbincang selama lebih satu jam, Tuanku telah bersetuju menerima surat peletakan jawatan saya dan setelah itu menitah saya supaya menjadi Perdana Menteri Interim.” katanya.

Menurut Mahathir, terdapat banyak sebab mengapa beliau meletak jawatan namun beliau dikatakan kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga tidak dapat memilih pihak mana yang patut dipilih.

“Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.

“Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.” kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, beliau meletakkan jawatan juga disebabkan kerana ada orang politik yang mementingkan parti mana yang memerintah sama ada yang kalah atau yang menang.

Dalam hal ini, Perdana Menteri interim berkata, beliau sebelum ini telah janji akan meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat menentukan siapa yang akan menggantinya.

“Jika benarlah saya masih disokong saya akan kembali. Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih. Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada. Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak, masa untuk saya letak jawatan belum tiba,” katanya.

Dr. Mahathir berkata, beliau telah meminta untuk diberi masa namun partinya, Bersatu memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan.

“Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini menyebabkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan gugur. Kesannya jika Bersatu sokong Pas dan UMNO, maka parti-parti yang kalahlah (dalam PRU-14) yang akan menjadi kerajaan dan kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.” katanya.

Dr. Mahathir menjelaskan, beliau sanggup menerima ahli UMNO yang keluar parti dan menyertai parti lain tetapi tidak dapat menerima sekiranya UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Tambahnya, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah supaya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sementara sebelum kerajaan baharu ditubuhkan.

“Saya sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akan ditentang dan ditolak oleh ramai tetapi mungkin ada yang menyokong. Saya tidak cari untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi negara,” katanya

Dr. Mahathir berkata: “Politik, orang politik dan parti politik terlalu mengutamakan politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.

“Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang.

“Jika dibenar saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas