Berita

Pakatan Harapan tetapkan Anwar Ibrahim calon PM-8

ANWAR dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika keluar selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pagi tadi.
- Diterbit 26 Februari 2020 11:39 AM MYT

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) bersetuju mencalonkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kelapan.

Anwar berkata, keputusan tersebut telah ditetapkan Majlis Presiden PH semalam setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak untuk hadir ke mesyuarat majlis tersebut semalam (Selasa) dalam usaha memulihkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Hari ini Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan daripada Keadilan, DAP dan Amanah telah mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika membacakan kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan di Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Hadir sama  Penasihat PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta pemimpin tertinggi PH yang lain.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa agar semua rakyat menghormati kebijaksaan Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“PH kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik dan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya adakah PH mempunyai angka yang mencukupi, Anwar enggan mengesahkan perkara tersebut sebaliknya semua pihak menunggu keputusan yang bakal dilakukan Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan undang-undang negara.

Terdahulu  Anwar berkata, sejak cubaan menumbangkan kerajaan PH hujung minggu lalu, para pemimpin gabungan parti tersebut terus berusaha untuk mempertahankan mandat rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018.

“Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan secara pintu belakang,” tegasnya.

Bermula semalam dan hari ini, Yang di-Pertuan Agong memanggil kesemua 222 Ahli Parlimen menghadap baginda di Istana Negara untuk ditemubual bagi memastikan siapakah calon Perdana Menteri baharu yang bakal dilantik nanti sekali gus menamatkan kemelut politik negara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas