Berita

Kakitangan awam perlu kekal apolitical, pastikan sistem penyampaian lancar

- Diterbit 26 Februari 2020 7:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Susulan kemelut politik yang melanda negara masa kini,  semua penjawat awam diseru agar mengekalkan pendirian apolitical dan berkecuali dengan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, penjawat awam juga mesti melaksanakan tugas seperti yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Saya memohon agar semua penjawat awam untuk bertenang dan meneruskan tugas-tugas mengikut undang-undang serta dasar kerajaan yang berkuat kuasa.

“Penjawat awam hendaklah memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar. Rakyat seharusnya mendapat perkhidmatan berkualiti sedia ada,” tegasnya dalam satu pekeliling yang bertarikh 25 Februari lalu.

Mohd.  Khairul Adib berkata, sehubungan itu, semua penjawat awam adalah dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik.

Tambahnya, kesemua yang terlibat juga tidak dibenarkan membuat sebarang penyataan awam, mengedar atau menularkan berita palsu di media sosial atau apa-apa medium komunikasi yang lain.

Tegas beliau, kakitangan awam juga ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan ketetapan undang-undang serta dasar kerajaan yang berkuat kuasa.  WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas