Berita

Tun Faisal mengadap Lembaga Disiplin UMNO

- Diterbit 1 Mac 2021 6:45 AM MYT

TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail telah tiba bangunan Ibu Pejabat UMNO Malaysia untuk mengadap Tribunal Lembaga Disiplin.

Prosiding terhadap beliau dijadualkan bermula jam 2.30 petang ini di hadapan Lembaga Disiplin yang dipengerusikan oleh Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Tun Faisal sebelum ini diarahkan hadir ke tribunal selepas diberikan surat tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap pelanggaran Perlembagaan UMNO.

Selain itu, beliau seperti yang dipetik media sebelum ini berkata, ketelusan Lembaga Disiplin pernah diragui pelbagai pihak sebagaimana berlaku dalam kes-kes yang dibawa ke lembaga itu melibatkan pesalah kes politik wang semasa pemilihan parti, bagi kes yang hampir sama, hukumannya berbeza mengikut individu.

Katanya, bagi individu biasa, mereka dikenakan hukuman gantung tetapi bagi individu yang mempunyai kaitan rapat dengan kepemimpinan, mereka hanya diberikan amaran.

Terdahulu Tun Faisal bersama sekumpulan penyokongnya menunaikan solat Zuhur dan solat hajat di Surau Ar-Rahman, PWTC. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas