Berita

26,472 Anggota TDM terima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

- Diterbit 1 Mac 2021 6:39 AM MYT

SERAMAI 26,472 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada fasa pertama secara berperingkat bermula 8 Mac ini,  kata Panglima Tentera Darat Jen. Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Beliau berkata setakat ini, 28 anggota TDM di seluruh negara telah menerima suntikan dos pertama vaksin tersebut pada 26 Feb lepas.

“Pada Isnin depan, vaksinasi akan dijalankan secara menyeluruh melibatkan petugas barisan hadapan termasuk mereka bekerja dalam formasi, zon merah dan mengawal sempadan negara,” katanya kepada pemberita di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Zamrose yang telah menerima suntikan vaksin tersebut pada Jumaat lepas memaklumkan dirinya berada dalam keadaan sihat dan mampu menjalankan tugas dengan baik.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula pada 24 Feb dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani proses vaksinasi terawal bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta empat petugas barisan hadapan.

Terdahulu, Zamrose ketika berucap bersempena Sambutan Hari Tentera Darat ke-88 berkata TDM sentiasa komited dalam membantu kerajaan dan rakyat, bukan sahaja semasa situasi konflik tetapi juga ketika menghadapi bencana alam atau bencana kesihatan.

“Ini terbukti melalui kerjasama dalam mencegah penularan wabak COVID-19 melalui pelaksanaan Op Penawar serta Op Benteng yang mana penglibatan tentera darat bagi kedua-dua operasi ini menampakkan kejayaan yang signifikan,” katanya.

Beliau berkata TDM juga diberi kepercayaan oleh kerajaan dalam pelaksanaan program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi menyelaras program vaksinisasi COVID-19 di seluruh negara.

“Timbalan Panglima Tentera Darat telah dilantik sebagai pengarah projek bersama dalam ‘project management team’ untuk COVID-19 Immunisation Task Force. Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan kerana meberikan kepercayaan tinggi kepada TDM dalam melaksanakan program berimpak tinggi seperti ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas