Berita

Tumpu usaha bela rakyat, bukan perpecahan – Annuar

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 15 Oktober 2020 9:36 AM MYT

TAN SRI ANNUAR MUSA mahu pemimpin-pemimpin parti menumpukan usaha membela rakyat dan perpaduan selagi negara belum distabilkan bukan mengakibatkan perpecahan.

Tegas Ahli Parlimen Ketereh itu, tumpuan kepada masalah rakyat adalah perkara utama khususnya dalam tempoh penularan COVID-19 ini.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya berpandangan sangatlah penting semua pihak memberi perhatian kepada membela rakyat. Saya merasakan terlalu banyak daripada kita sibuk memikirkan kepada siapa nak beri jawatan, siapa patut ada kuasa dan sebagainya.

“Kurang sekali kita duduk membincangkan agenda yang dihadapi orang Melayu, miskin mahupun rakyat malaysia, agenda yang dihadapi tentang masalah COVID-19, kesusahan rakyat dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata, tiada istilah condong seperti yang dikritik sesetengah pihak sebaliknya ia adalah usaha ke arah perpaduan kerana kerajaan sedang menjalankan tugas yang amat penting pada saat kritikal ini.

Jelas beliau, perasaan tidak puas hati akan datang sepanjang masa, tetapi itu bukan alasan untuk bergaduh dan melakukan sesuatu yang menyebabkan rakyat semakin susah.

“Nak ‘go back to drawing board’, saya fikir mana-mana parti politik pun boleh berbuat demikian tetapi cara bertindak mestilah meletakkan keutamaan negara terlebih dahulu,” ujarnya.

Annuar turut menyeru supaya orang Melayu sebagai kelompok teras bersatu padu berikutan kegagalan yang berlaku itu menyebabkan keseluruhan politik negara tidak stabil seperti sekarang.

Dalam pada itu, Annuar enggan memberi maklum balas berhubung spekulasi usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, malah beliau memberi pandangan bahawa Tengku Razaleigh Hamzah mahupun speaker Dewan Rakyat mempunyai hak masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas