Berita

PKPB di Labuan bermula 17 sehingga 30 Okt

WARGA Labuan terima manfaat IWC 4.0. MERCU tanda tumpuan pelancong yang datang ke Labuan.
- Diterbit 15 Oktober 2020 9:19 AM MYT

SELEPAS Kuala Lumpur dan Putrajaya, satu lagi wilayah dalam Wilayah Persekutuan iaitu Labuan kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula lusa hingga 30 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di Wilayah Persekutuan itu sejak akhir-akhir ini.

Katanya, perkara itu diputuskan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), sebentar tadi.

Menurut Ismail Sabri, seperti PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, semua sektor dan aktiviti berkaitan ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa, termasuk industri perkilangan dan perkapalan.

“Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, namun mereka yang ada kecemasan ataupun pekerja boleh mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pengangkutan udara dibuka seperti biasa tetapi mereka yang ingin merentas negeri juga perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM.

“Pengangkutan air seperti feri roro, feri ekspres dan bot laju dibenarkan setakat jam 6 petang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Walaupun pelabuhan dibuka, Ismail Sabri berkata, perkhidmatan kapal perdagangan tukar barang adalah tidak dibenarkan kerana datang dari negara jiran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas