
Tumpu program dekati masyarakat
Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS dan JEFFREY NIAN
LABUAN – Program One Stop Help Center (Kawan) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan merupakan salah satu strategi Kerajaan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, Kawan secara tidak langsung dapat menyebarluaskan perkhidmatan jabatan agar masyarakat lebih memahami dan mendapat manfaat daripada pelaksanaan dasar dan program kerajaan.
“Outreach Programme menjadi satu strategi mendekati rakyat dengan fokus agar memberi impak positif kepada mereka yang memerlukan.
“Kepelbagaian program dan usaha berterusan daripada agensi kerajaan adalah platform yang tepat dalam memperkenal serta mewar-warkan perkhidmatan disediakan mengikut dasar-dasar semasa untuk meningkatkan kesejahteraa rakyat di peringkat akar umbi,’’ katanya ketika merasmikan program itu di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun di sini baru-baru ini.
Rozman berkata, keberkesanan pendekatan itu bukan sahaja membantu mereka memerlukan bantuan malah membantu dari segi mengenal pasti golongan sasar yang terlepas pandang oleh lain-lain agensi kerajaan.
“Hal ini memerlukan kerjasama bersama ahli komuniti dan bukan peranan Jabatan semata-mata. Saya menyeru supaya gandingan kerjasama antara jabatan, pemimpin masyarakat, sukarelawan serta komuniti digemblengkan agar golongan terpinggir serta berisiko dapat dibantu daripada terus ketinggalan,”jelasnya.
Program Kawan itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kaunter perkhidmatan agensi kerajaan dan badan korporat, ceramah inisiatif kerajaan dan pertandingan mewarna. Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Penerangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kesihatan dan Amanah Ikhtiar Malaysia.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan, Ansharey Matarsad; Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan, Simsudin Sidek.