Berita

Guru SK Lubok Temiang gondol pingat emas

HASNAN (tiga dari kiri) menerima hadiah daripada Dr. Mistirine pada Persidangan Pendidikan Abad Ke-21 Kebangsaan 2019 di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.
- Diterbit 26 September 2019 11:07 AM MYT

Oleh MD. KHAIRUL AZAD YUNUS

LABUAN – Guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Temiang, Hasnan Md. Saad mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi Anugerah Utama Pingat Emas dalam Kategori Pembenta­ngan Poster Kajian Tindakan dan Penyelidikan di Persida­ngan Pendidikan Abad Ke-21 Kebangsaan 2019 di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini.  

Hasnan yang membentang tajuk kajian Jangkauan Keberkesanan Kaedah Kod Pantas dalam Memindah Ayat Aktif ke Ayat Pasif dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu UPSR berjaya menewaskan 20 peserta lain dari seluruh negara.

Menurutnya, beliau sendiri tidak menyangka pembentangan posternya menjadi pilihan juri memandangkan ini merupakan penyertaan pertama walaupun berpengalaman luas dalam pembentangan kertas kajian pendidikan sama ada dalam dan luar negara.

“Ini merupakan hadiah yang paling manis sepanjang saya menceburkan diri dalam kajian penyelidikan pendidikan sejak tahun 2010,” kata­nya.

Guru Bahasa Melayu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya, Lahad Datu, Tieew Sor Wai pula mendapat pingat perak dengan tajuk kajian pembentangan poster Putaran Ayat manakala kumpulan guru mata pelajaran Sejarah, Saedah Abd Wahid, Jessica Sylvester Lojikim dan Suriati Biru Parang mendapat pingat gangsa.

Persidangan yang bertema ‘Cabaran Pendidikan Dalam Era Revolusi Industri 4.0’ me­nyaksikan sebanyak 30 kertas kajian dibentangkan melibatkan hampir 50 pengkaji dalam kalangan guru, pegawai pendidikan dan pensya­rah dari seluruh negara.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob manakala Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan Pe­ngarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr. Mistirine Radin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas