Berita

Tumpang Populariti Upin & Ipin? “Itu Soal Rezeki” – TYKA ZATYKA

|TYKA Zatyka tidak kisah dikatakan menumpang populariti animasi Upin Ipin|TYKA berharap lagu Goyang Sama-Sama mampu membuatkan dirinya lebih dikenali.
- Diterbit 21 Oktober 2020 11:59 PM MYT

PENYANYI Tyka Zatyka,25, tidak kisah jika ada pihak yang mengatakan dirinya mahu menumpang populariti animasi popular, Upin & Ipin.

Tyka yang menyanyikan semula lagu Goyang Upin & Ipin ciptaan Arif Asyraf Munap dan lirik Ahmad Zakri Tomirin ini menganggap semua itu adalah soal rezeki.

Untuk projek usahasama Nova Music dan Les Copaque Production (LCP) itu, judul lagu berentak dangdut yang dinyanyikan Tyka ditukar judul menjadi “Goyang Sama Sama”.

TYKA Zatyka tidak kisah dikatakan menumpang populariti animasi Upin Ipin

“Saya tak kisah jika ada yang menganggap diri ini menumpang populariti Upin& Ipin. Semuanya itu soal rezeki,” kata Tyka atau nama sebenarnya Noor Amierazatyka Ayob.

Gadis berasal dari Johor yang juga bekas peserta D’Academy Asia (DAA) di Indonesia musim ke-4 pada tahun 2018 ini tidak sangka namanya terpilih untuk menyayikan lagu ini.

“Semuanya terjadi begitu pantas. Saya menerima mesej daripada pihak Nova Music beberapa bulan lalu. Ketika itu kebetulan saya ada di KL kerana ada persembahan menyanyi dengan Noraniza Idris.

“Saya diberitahu ada lagu animasi Upin & Ipin berentak dangdut yang mahu dinyanyikan. Saya difahamkan ada beberapa nama penyanyi dicadangkan, tapi rezeki berpihak kepada diri ini. Satu penghormatan untuk artis baru seperti saya di atas peluang manis ini.

“Rakaman lagu dibuat pada 12 Ogos. Kebetulan sejak menyertai DAA musim empat, saya terdedah dengan lagu dangdut. Jadi mungkin juga itu antara lesen besar tuah memihak kepada saya,” katanya yang berasa lega apabila video muzik telah pun ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 16 Oktober lalu. 

Tyka juga berharap irama dangdut ini mampu membuatkan dirinya lebih dikenali dan berada sebaris dengan penyanyi-penyanyi lain suatu hari nanti. 

“Jujur menyanyikan lagu dandgut itu bagai sebati dalam diri. Kemampuan saya menyanyikan lenggok irama Malaysia sejak kecil mungkin bonus untuk menguasai genre muzik lain. 

“Bukan mahu mendabik dada, tapi saya bersyukur dapat menyanyi pelbagai irama sekali gus bukti kemampuan diri ini bersifat versatil. 

“Di persaingan DAA 4 pun irama dangdut itu yang membantu nama saya dikenali di sana. Mungkin juga irama dangdut yang akan beri tuah untuk saya menyinar selepas ini,” ujarnya lagi.

TYKA berharap lagu Goyang Sama-Sama mampu membuatkan dirinya lebih dikenali.

Sementara itu, Eddie Hamid selaku Pengarah A&R Nova Music optimis dengan pemilihan Tyka dalam projek berkenaan.

“Saya percaya gabungan lagu animasi Upin & Ipin dan Tyka ini seperti serampang dua mata kerana kedua jenama itu ada pengaruh di Indonesia khususnya. 

“Jika versi asal lagu itu ditonton lebih 65 juta, siapa tahu tuah itu akan beralih dan merebak ke versi nyanyian Tyka pula. Seperti judulnya yang turut diubah, beberapa bahagian lirik juga ditukar dan disesuaikan untuk versi baru ini.

“Tyka menjadi pilihan tepat pihak LCP dan Nova Music di antara cadangan penyanyi lain kerana kebolehannya menyanyikan lagu dangdut dengan baik. Kita harap lagu ini akan diterima baik bukan saja di Indonesia, Malaysia bah kan di seluruh dunia,” kata Eddie Hamid. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas