Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Tukar minyak masak terpakai kepada duit, pulihara alam sekitar

KOMUNITI Sub Zon 3 Putrajaya turut serta dalam Program Jom Biodiesel
- Diterbit 24 Mei 2024 3:50 PM MYT

PIHAK berkuasa tempatan, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengajak orang ramai mengitar semula minyak masak terpakai dalam usaha menjaga alam sekitar dan ekosistem di negeri ini.

Menurut Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj, Dr Mohd Helmi Abdul Hamid, usaha tersebut dapat menjana pendapatan warga Putrajaya melalui pertukaran minyak masak terpakai dengan wang tunai sebanyak RM3.10 sekilogram.

“Dalam masa sama, ia juga bagi menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti Putrajaya serta meningkatkan kesedaran pelupusan minyak masak secara mampan dengan mendidik mereka tentang kepentingan menggunakan minyak masak dan kesannya terhadap alam sekitar jika tidak diuruskan dengan betul.

“Selain itu, inisiatif pihak PPj dengan kerjasama AFES itu juga dilihat mampu mendidik masyarakat untuk menjaga kebersihan di rumah dengan tidak membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang kerana boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar, pembiakan lipas, tikus dan nyamuk serta berlakunya banjir,” ujar beliau.

Mohd Helmi berkata penggunaan minyak masak terpakai berulang kali boleh memudaratkan kesihatan dan pencemaran alam sekitar.

“Sehubungan itu, pihak bertanggungjawab perlu melakukan kempen bagi memberi kefahaman kepada orang ramai untuk memastikan perkara ini berjaya direalisasikan sepenuhnya,” ujarnya.

Mohd Helmi berkata sejak mula diperkenalkan, kempen kitar semula minyak masak terpakai ternyata semakin mendapat sambutan apabila PPj berjaya mencatat peningkatan dalam jumlah pungutan minyak.

“Alhamdulillah, program yang telah dilaksanakan sejak Mei lalu ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Penduduk bukan sahaja dapat menjana pendapatan sampingan bahkan kesedaran berkaitan aktiviti kitar semula ini juga dapat ditingkatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu selain dari Pusat Kitar Semula (PKS) di Presint 9, penduduk juga boleh menghantar minyak masak terpakai mereka di Pusat Kitar Semula Presint 18 dan Drive Thru Recycling Centre Alam Flora (DTRC) Presint 20.

Untuk rekod, minyak masak terpakai boleh dikitar semula untuk dijadikan produk bukan makanan seperti biodiesel sebagai ganti bahan api fosil yang lebih mesra alam.

Bagi pengeluar biodiesel, ia akan ditapis melalui beberapa peringkat sebelum melalui proses kimia untuk dijadikan bahan api kenderaan atau biodiesel. Di samping itu, ia juga boleh digunakan untuk membuat lilin, pencuci, sabun serta makanan haiwan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas