Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Atlet Wilayah

WiPers janji pamer aksi cemerlang dalam sukan angkat berat

PASUKAN Angkat Berat Putrajaya menduduki tempat keempat dalam kejohanan di Thailand baru-baru ini
- Diterbit 24 Mei 2024 4:00 PM MYT

PASUKAN Angkat Berat Putrajaya berjaya menggondol empat pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa Senior Dan Remaja King’s Cup EGAT 2024 yang berlangsung di Nakhon Si Thammarat, Thailand.

Kejayaan tersebut membolehkan Pasukan Angkat Berat Putrajaya menduduki tempat keempat keseluruhan pada kejohanan yang dijadikan sebagai medan pemanas badan bagi atlet yang akan ke Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak pada Ogos nanti.

Menurut Pengurus Pasukan Angkat Berat Putrajaya, Ahmad Janius Abdullah, seramai tujuh orang atlet angkat berat Putrajaya bertanding dalam kejohanan pada 20 hingga 30 April itu.

“Dua pingat emas dimenangi oleh Afiq Haziq Daniel Rohizanudin dalam kategori bawah 89 kilogram (kg) senior lelaki sementara Mohamad Syahmi Nor Ghazali merangkul satu emas dan dua gangsa dalam kategori yang sama.

“Selain itu, Abdila Iyad Abdul Jalil yang bertanding dalam kategori bawah 96kg senior lelaki membawa pulang satu emas manakala Ahmad Darwisy Zharfan Ahmad Tharmidzi meraih satu perak dalam kategori bawah 55kg remaja lelaki.

“Kejohanan ini merupakan pentas terbaik untuk atlet angkat berat Wilayah Persekutuan (WiPers) menguji kemampuan menjelang SUKMA nanti.

“Kami juga mahu menilai ketahanan mental atlet serta bagaimana cara mereka mengatasi tekanan dan debaran dalam kejohanan yang kompetitif bagi membolehkan atlet membiasakan diri dengan suasana dalam kejohanan besar,” ujar beliau.

Dengan berbaki lebih kurang tiga bulan menjelang SUKMA, Ahmad Janius berkata persiapan atlet angkat berat WiPers kini berada di fasa terakhir.

“Saya berharap atlet dan jurulatih dapat membuat ­penambahbaikan dari segi latihan kekuatan fizikal dan ketahanan mental,” ujarnya.

Pada SUKMA ke-21 nanti, sukan angkat berat akan dipertandingkan di Betong, Sarawak bermula 19 hingga 23 Ogos 2024 dengan mempertaruhkan 16 pingat emas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas