Berita

Tukar istilah Malaysia Sports Challenge kepada Bulan Sukan Negara – ABIM

ABIM
MUHAMMAD FAISAL
- Diterbit 22 Ogos 2019 9:37 AM MYT

KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kementerian Belia dan Sukan menukar semula nama program Malaysia Sports Challenge (MySC) kepada istilah bahasa kebangsaan yang bersesuaian.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal bin Abdul Aziz berkata, antara istilah yang boleh digunakan ialah Cabaran Sukan Malaysia, Cabaran Malaysia Cergas, Bulan Sukan Malaysia, Bulan Sukan Negara atau apa juga istilah bersesuaian boleh digunakan asalkan menggunakan laras bahasa kebangsaan yang betul.

“Begitu juga halnya dengan lain-lain istilah yang telah menjadikan istilah bahasa Inggeris sebagai istilah rasmi seperti pengenalan Youth Power Club (YPC) dan Impact Malaysia serta berleluasanya kenyataan rasmi kerajaan menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini bagi mengulas pengumuman nama Hari Sukan Negara (HSN) yang ditukar kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.

Muhammad Faisal berkata, tatkala kerajaan mahu memartabatkan bahasa Melayu menerusi pelaksanaan pengajaran khat-Jawi sehingga satu negara kecoh dan berpolemik, adalah janggal dan ironi bila mana pihak kementerian sendiri menongkah arus sedia ada.

“Sebagai bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, sudah tentu amat penting untuk semua pihak lebih peka dan sensitif akan penggunaan bahasa melayu khususnya terutama dalam program-program rasmi membabitkan kerajaan.

“ABIM menegaskan bahawa isu yang absah dan menjadi perkara pokoknya ialah penggunaan bahasa Melayu merentas sektor yang semakin dipinggirkan. Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta serta masyarakat terbanyak?” katanya.

Beliau berkata, ABIM juga menggesa agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan dan kuasa yang lebih luas dan berkesan dalam menangani isu perlecehan bahasa Melayu yang semakin membimbangkan kini.

“Malah, tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor, ditambah pula penguasaan bahasa Melayu yang lemah pada peringkat sekolah vernakular dan sekolah persendirian.

“Menjelang sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini, adalah penting untuk kita mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan.

“Tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain, ABIM menegaskan bahawa mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ merupakan gejala pemikiran terpasung serta minda yang terjajah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas