Berita

Rebut hadiah RM20,000 di Jelajah Pancing Kuala Lumpur

PANCING-JELAJAH KL
TIMBALAN Pengarah Kanan, Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Hasliza Abdul Hamid (tengah) bersama Pengurus Acara dan Tajaan, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Muhammad Fauzi Ahmad, (dua dari kiri) menunjukkan spesies patin yang dilepaskan untuk pertandingan JPKL 2019 di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur semalam.
- Diterbit 22 Ogos 2019 9:40 AM MYT

KUALA LUMPUR – Peminat aktiviti memancing bertuah bakal membawa pulang hadiah keseluruhan RM20,000 dengan menyertai pertandingan Jelajah Pancing Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Tasik Permaisuri di sini Ahad ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd. Nazam Harun berkata, aktiviti sihat bertemakan ‘Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera’ sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

Katanya, pertandingan bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ itu diadakan bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

“Juara pertandingan akan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 setiap seorang begitujuga tempat di 81 hingga ke 100 menerima RM50 setiap seorang manakala tahun ini pihak DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli di mana juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ke 7, RM100 dan tempat ke lapan hingga ke 10, RM50,” katanya.

Terdahulu beliau hadir pada acara melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Permaisuri di sini semalam antaranya patin bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg) seekor.

Tambahnya, yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima satu botol air saiz satu liter sumbangan penaja termasuk Oyoshi (Perasa Sakura), Igloo-UFL dan Pure Fishing Malaysia Sdn. Bhd.

Menurut Mohd. Nazam, pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia di lokasi pertandingan Sabtu ini bermula pukul 1 tengah hari hingga 9 malam dan keesokannya kaunter dibuka dari pukul 6.30 pagi hingga 10 pagi.

Maklumat lanjut sila layari laman Facebook, JORANKL atau hubungi urusetia di talian 013-266 7011 dan 012-284 6811.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas