Berita

Ekonomi Madani tingkat kualiti hidup rakyat

ANWAR ketika pelancaran Ekonomi Madani di Suruhanjaya Sekuriti, Bukit Kiara baru-baru ini. - Gambar Facebook Anwar
- Diterbit 4 Ogos 2023 12:00 AM MYT

INISIATIF Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ­baru-baru ini mampu memberi impak berganda memandangkan ia ­merangkumi ketiga-tiga aspek ­penting iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Samad berkata kesemua aspek ­tersebut merupakan tiang utama untuk negara mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Ia akan membantu ­negara ­mencapai 17 objektif SDGs dan ­dalam masa yang sama mengukuhkan lagi sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Jadi, pada masa akan ­datang, ketiga-tiga aspek tersebut ­mampu dicapai pada satu tahap yang membanggakan.

“Kerajaan bukan sahaja ­menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka ­sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 ­tahun bahkan turut mempunyai sasaran jangka pendek yang sudah pun digerakkan.

“Sesuatu lonjakan ­perubahan perlu ada sasaran, contohnya ­indikator yang dirasakan dapat ­pergi dahulu dan menampakkan ­impak yang baik dalam tempoh yang lebih singkat misalnya lima tahun.

“Di sini kita nampak ­sasaran ­jangka pendek ini sudah pun ­digerakkan bagi menangani ­isu-isu segera yang mengesankan rakyat. Ini dikira satu pencapaian yang baik. Antaranya menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan ­klinik daif, menoktahkan ­kemiskinan tegar tahun ini ­juga serta inisiatif Payung Rahmah,” ujar beliau.

Tambah beliau yang ­juga ­merupakan Profesor Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), kerajaan ­juga perlu sentiasa ada kesiapsagaan ­dalam perjalanan mencapai Ekonomi Madani ­memandangkan dunia pada hari ini berdepan ­dengan paras ­ketidakpastian yang tinggi.

Terdahulu, Anwar ­memperkenalkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sebagai ­wadah mengangkat semula darjat dan martabat negara ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata untuk penambahbaikan kerangka Madani, perlu ­adanya program turun padang dengan ­lebih kerap untuk mendekati pihak berkepentingan antaranya ­agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak industri, universiti dan rakyat.

“Golongan ini perlu diberi ­kefahaman dan kesedaran tentang kepentingan isi penting di dalam kerangka tersebut. Ia tidak cukup ­jika hanya mengharapkan kempen di media sosial sahaja.

“Apabila memahami ­manfaat daripada Ekonomi Madani ­tersebut maka barulah mereka akan ­lebih mudah untuk ­bersama-sama dengan para pemimpin untuk ­merealisasikan apa yang ­terkandung dalam kerangka tersebut,” ujar ­beliau kepada Wilayahku.

Anwar pada Selasa ­mengarahkan kesemua menteri Kerajaan Perpaduan mengumumkan dasar dan program susulan kepada Ekonomi Madani setiap hari.

Ia bagi dijadikan asas ­kepada ­beberapa dasar yang akan ­dijadualkan untuk diumumkan ­dalam beberapa bulan lagi. Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional selaras dengan Ekonomi Madani. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas